BEAUFORT - Kegiatan sekumpulan lelaki termasuk remaja yang disyaki terbabit dalam kes kecurian tayar kenderaan di sekitar daerah ini terbongkar susulan penahanan tiga suspek pada Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintenden Champin Piuh berkata, tangkapan itu dibuat susulan siasatan terhadap dua kes kecurian tayar kereta yang dilaporkan berlaku di Kampung Binunuk dan Kampung Bingkol.
Menurutnya, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort telah menjalankan operasi di sekitar daerah berkenaan.
"Dalam operasi itu, polis berjaya menahan dua lelaki berusia 18 dan 21 tahun serta menyita sebuah kenderaan bagi membantu siasatan kes kecurian tayar di Kampung Binunuk.
"Hasil soal siasat mendapati kedua-dua suspek mengaku terbabit dalam kes kecurian empat tayar sebuah kereta Perodua Bezza," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Champin berkata, siasatan masih diteruskan bagi mengesan suspek lain yang dipercayai terbabit dalam kegiatan kecurian di daerah Beaufort.
Katanya, kedua-dua suspek berkenaan turut menjalani ujian air kencing bagi mengesahkan sama ada mereka terbabit dalam penyalahgunaan dadah.
Dalam perkembangan berkaitan, seorang lagi remaja lelaki berusia 19 tahun ditahan di kawasan Taman Minggo pada hari sama.
"Penahanan suspek ketiga dibuat hasil maklumat orang ramai dan kepekaan masyarakat terhadap kejadian kecurian yang berlaku di sekitar Beaufort.
"Suspek ditahan ketika cuba melakukan jenayah curi dan disyaki mempunyai kaitan dengan kes kecurian tayar kenderaan berkenaan,” katanya.
Menurutnya, ketiga-tiga suspek direman bagi membantu siasatan lanjut berhubung penglibatan mereka dalam kes kecurian di Beaufort dan kawasan sekitarnya.
Champin turut merakamkan penghargaan kepada orang ramai yang menyalurkan maklumat sehingga membawa kepada penahanan ketiga-tiga suspek.
"Kerjasama itu diharap dapat diteruskan dengan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah kepada pihak polis,” katanya.






