
Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal mengalami kecederaan parah selepas pergelangan tangan kanannya ditetak sehingga putus dalam kejadian serangan bersenjata tajam di sebuah pangsapuri di Desa Amanpuri, Kepong, malam tadi.
Mangsa berusia 26 tahun dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan sedang menjalani pembedahan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Ketua Polis Selangor, Datuk Pahlawan Shazeli Kahar berkata, kejadian berlaku ketika pihak polis menjalankan operasi menangkap seorang lelaki dipercayai warga asing yang dilaporkan mengamuk di sebuah unit kediaman.
Menurutnya, suspek yang dikesan semula bertindak meluru keluar dengan membawa sebilah parang sebelum menyerang anggota polis serta anggota bomba dan petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang berada di lokasi.
Dalam usaha mempertahankan diri, pihak polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan ke arah suspek bagi menghentikan serangan tersebut.
Suspek kemudiannya dibawa ke Hospital Selayang untuk mendapatkan rawatan, namun disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital berkenaan.
Shazeli memaklumkan perkara itu dalam sidang media ringkas yang diadakan di Hospital Selayang susulan kejadian berkenaan.
Beliau menegaskan pihak polis memandang serius insiden tersebut dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan supaya tampil membantu siasatan.
Orang ramai turut dinasihatkan agar tidak membuat sebarang andaian atau spekulasi berhubung kejadian sementara siasatan lanjut masih dijalankan.
The post Pergelangan tangan anggota polis putus ditetak, warga asing maut ditembak appeared first on The Reporter.






