‘Pergi kerja pun hati tak senang’

LocalEnvironment
9 Oct 2026 • 9:00 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: ‘Pergi kerja pun hati tak senang’

KULIM – Seorang penghuni di Taman Desa Makmur, Lunas, di sini, bimbang keselamatan keluarganya susulan kejadian tebing anak sungai berhampiran rumahnya runtuh ketika hujan le­bat kelmarin.

Naveen Raj, 43, berkata, kejadian kira-kira pukul 3 petang itu mengakibatkan sebahagian tanah berhampiran rumahnya mendap dan runtuh sepanjang kira-kira sembilan meter, selain merosakkan tembok serta pagar rumah.

Katanya, keadaan menjadi cemas apabila arus anak sungai yang deras turut menghanyutkan sebuah kenderaan utiliti sukan jenis Honda CR-V yang tersadai kira-kira dua tahun dan tidak diketahui pemiliknya.

“Ketika kejadian saya berada di rumah dan terdengar bunyi seperti rekahan. Apabila keluar melihat keadaan, saya nampak tanah mula runtuh dan arus air yang deras membawa tanah serta kenderaan itu seperti kejadian banjir.

“Nasib baik dua anak saya tidak bermain di kawasan tersebut ketika kejadian. Jika mereka berada berhampiran, saya tidak tahu apa yang mungkin berlaku,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Ujarnya, dia telah membuat aduan melalui aplikasi pihak berkuasa tempatan pada 31 Mei lalu berhubung masalah ber­kenaan, selain membuat laporan kedua pada 25 Jun, namun mendakwa tiada tindakan sehingga berlaku runtuhan.

Katanya, sebelum kejadian terdapat retakan kira-kira 30 meter di jalan berhampiran kawasan berkenaan, selain kesan rekahan turut kelihatan di bahagian lantai di dalam rumahnya selepas kejadian.

“Saya sudah tinggal di sini kira-kira 13 tahun dan sebelum ini tidak pernah mengalami masalah hakisan seperti ini. Sebuah rumah di depan rumah saya juga baru selesai diubah suai turut mengalami kesan apabila pagar terbabit runtuh ke dalam sungai.

“Saya kecewa kerana sudah membuat aduan tetapi keadaan akhirnya menjadi lebih serius sehingga berlaku runtuhan. Sekarang saya sangat bimbang kerana musim hujan dan hujan pula berlaku hampir setiap hari,” kata pekerja kilang di kawasan Kulim Hi-Tech itu.

Dia berharap kerja-kerja pembaikan dapat dilakukan segera bagi mengelakkan hakisan terus berlaku dan menghampiri kediamannya serta jiran-jiran.

“Pergi kerja pun saya teringat keadaan rumah. Tidur pun tidak lena. Kalau hujan lebat berlaku pada tengah malam, saya akan keluar memantau keadaan lantai rumah dan kawasan yang mengalami rekahan kerana takut berlaku lagi runtuhan,” jelasnya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Lunas, Khairul Anuar Ramli berkata, dia telah menghubungi pihak berkaitan bagi memaklumkan kejadian serta mendapatkan tindakan segera.

The post ‘Pergi kerja pun hati tak senang’ appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved