“Pergi… saya tidak mahu jumpa kamu!” – Tuanku Muhriz murka, enggan terima Ismail Lasim menghadap

LocalPolitics
16 Oct 2026 • 4:43 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir menitahkan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim supaya tidak datang menghadap baginda selagi kenyataan berhubung kedudukan baginda tidak ditarik balik.

Titah berkenaan kedengaran menerusi sebuah video yang tular di media sosial, dipercayai dirakam selepas solat Jumaat di sebuah masjid di Kuala Pilah, hari ini.

Image from: “Pergi… saya tidak mahu jumpa kamu!” – Tuanku Muhriz murka, enggan terima Ismail Lasim menghadap

Dalam rakaman tersebut, Tuanku Muhriz mempersoalkan tujuan Ismail datang menghadap selepas mendakwa Menteri Besar itu mengutus surat kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja yang menyatakan keputusan dibuat bersama barisan Exco adalah sah dan baginda bukan lagi Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

“Ismail Lasim telah tulis surat kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja mengatakan keputusan yang dia buat bersama Exco adalah sah dan saya bukan lagi Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
“Jadi, datang jumpa saya buat apa? Selagi dia tidak tarik balik apa dia kata itu, jangan datang jumpa saya. Pergi, jangan jumpa saya, saya tidak mahu jumpa kamu, faham?,
“Saya Yang di-Pertuan Besar, tetapi kamu kata saya bukan lagi Yang di-Pertuan Besar,” titah baginda dalam video berkenaan.

Image from: “Pergi… saya tidak mahu jumpa kamu!” – Tuanku Muhriz murka, enggan terima Ismail Lasim menghadap

Bagaimanapun, konteks penuh rakaman serta kandungan sebenar surat yang disebut baginda belum dapat dipastikan berdasarkan video tular itu.

Terdahulu, kemelut institusi diraja Negeri Sembilan tercetus selepas Undang Yang Empat mengeluarkan proklamasi bertarikh 19 April lalu bagi menurunkan Tuanku Muhriz daripada kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Namun, kesahihan proklamasi berkenaan dipertikaikan apabila Dewan Keadilan dan Undang (DKU) pada 31 Julai memutuskan bahawa pengisytiharan itu tidak sah, antaranya membabitkan status tiga daripada empat penandatangan serta proses yang didakwa tidak dipatuhi sepenuhnya.

Pertikaian semakin meruncing apabila barisan Exco kerajaan negeri pada 16 September mengumumkan proklamasi tersebut sebagai sah, sebelum Tuanku Muhriz membatalkan pelantikan kesemua mereka berkuat kuasa serta-merta atas alasan memungkiri sumpah jawatan.

Sementara itu, Raja-Raja Melayu sebelum ini menyeru supaya kemelut berkenaan tidak dicampuri atau dipolitikkan oleh pihak luar.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad menegaskan bahawa sebarang pertikaian perlu diselesaikan menerusi saluran yang sah, berlandaskan adat serta Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

Sumber: FB Najib Bakar

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved