Pergi sekolah bersolek nak tunjuk siapa dik?

BeautyFamily & Parenting
10 Sep 2026 • 8:15 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Pergi sekolah bersolek nak tunjuk siapa dik?

Sejak kebelakangan menjadi trend dalam kalangan segelintir pelajar sekolah menengah yang datang ke sekolah bukan sekadar membawa buku, tetapi turut mengusung alat solek.

Remaja sekolah menengah bukan ‘biasa-biasa’ ya, sekarang mereka lebih terjejas jika tidak bawa lip tint ke sekolah banding buku sejarah.

Ada juga dalam kalangan mereka memakai bedak asas ke sekolah sehingga guru terpaksa menanggalkannya dengan tisu basah.

Lebih membimbangkan apabila budaya bersolek itu menjadi satu bentuk persaingan. Siapa memiliki produk lebih mahal, siapa paling pandai bersolek dan siapa kelihatan paling cantik menjadi bahan perbandingan.

Sedangkan persaingan yang sepatutnya berlaku di sekolah ialah siapa lebih rajin belajar, lebih berdisiplin dan mampu mencatat keputusan lebih baik.

Bukanlah salah untuk seseorang mahu kelihatan kemas dan menjaga penampilan. Kebersihan diri, rambut terurus dan pakaian yang kemas memang sebahagian daripada disiplin. Tetapi ada perbezaan besar antara menjaga kekemasan dengan menjadikan sekolah seperti pentas untuk mempamerkan solekan.

Zaman media sosial juga sedikit sebanyak mempengaruhi keadaan ini. Pelajar setiap hari disajikan video tutorial kecantikan, kandungan get ready with me dan pelbagai trend solekan.

Masalah dalam kalangan pelajar perempuan ini belum lagi bab tudung singkat dan memakai sanggul tinggi ke sekolah.

Jika pelajar lelaki pula dulu isu merokok di sekolah tetapi sekarang masalah ‘seludup’ vape pula.

Mereka tanpa segan silu menyedut vape tidak kira masa terutama waktu tiada guru dalam kelas. Realiti ini memang berlaku usah dinafi.

Ibu bapa juga perlu mengambil tahu apa yang dibawa anak ke sekolah. Jangan sekadar melihat anak keluar rumah lengkap beruniform lalu menganggap semuanya baik.

Sesekali periksa beg mereka dan berbincang mengenai batas penampilan yang sesuai sebagai seorang pelajar.

Guru pula berada dalam kedudukan yang sukar. Jika ditegur, mungkin ada pelajar merasakan guru terlalu mengawal. Jika dibiarkan, perkara itu boleh menjadi kebiasaan sehingga peraturan sekolah tidak lagi dipandang serius.

Minat terhadap solekan bukan satu kesalahan, mereka sedang melalui fasa membesar, mencari identiti dan mahu kelihatan menarik yang perlu diajar ialah mengenai masa, tempat dan batas yang sesuai.

Sekolah mempunyai peraturan dan identitinya sendiri, apabila memakai uniform, seseorang pelajar membawa imej sekolahnya.

Disiplin kecil seperti cara berpakaian dan menjaga penampilan sebenarnya melatih mereka menghormati peraturan yang lebih besar apabila memasuki universiti serta alam pekerjaan kelak.

The post Pergi sekolah bersolek nak tunjuk siapa dik? appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved