
KLANG – Kecederaan membabitkan seorang pelajar tingkatan tiga sebuah sekolah menengah di Shah Alam, Rabu lalu disahkan berpunca daripada pergaduhan biasa dan bukan kes buli.
Pengarah Pendidikan Negeri Selangor, Datin Wan Nor Ashikin Abu Kassim berkata, perkara itu hasil siasatan awal Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor bersama pihak nazir daripada Kementerian Pendidikan (KPM).
“Setakat ini, dapatan kami mendapati tidak ada (kes buli), sebaliknya ia hanya pergaduhan.
“Tidak ada risiko buli. Budak-budak kita, anak-anak kita suka bergaduh. Berlaga (badan) sedikit, sudah hendak bergaduh. Ia bukan kes buli,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Aspirasi Pendidikan Yayasan MBI Selangor 2026 di sini hari ini.
Beliau menambah, kes berkenaan kini dalam siasatan polis selepas keluarga Adryz membuat laporan berhubung kejadian tersebut.
“Kami telah serahkan siasatan kepada pihak polis dan akan beri kerjasama untuk siasatan kes ini. Kami tidak akan ganggu siasatan.
“Ibu bapa berhak membuat laporan polis atau mengambil tindakan undang-undang sekiranya berlaku apa-apa kes ke atas anak mereka,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Bukan buli, hanya pergaduhan biasa appeared first on Kosmo Digital.






