Perintah Baharu Mahkamah Tinggi, Najib Jalani Baki Hukuman Penjara Di Rumah 

LocalPolitics
10 Nov 2026 • 6:39 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Perintah Baharu Mahkamah Tinggi, Najib Jalani Baki Hukuman Penjara Di Rumah 

KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International di bawah tahanan rumah di kediamannya di Taman Duta sehingga 23 Ogos 2028, susulan keputusan Mahkamah Tinggi hari ini.

Keputusan itu membolehkan Najib menghabiskan baki hukuman penjara enam tahun yang telah dikurangkan, di kediamannya dan bukannya dibebaskan selepas menjelaskan denda seperti difahami menerusi perintah terdahulu bertarikh 6 November lalu.

Hakim Datuk Aslam Zainuddin membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, dengan menetapkan Najib menjalani baki hukuman di rumah bernombor 11, Jalan Langgak Duta, selaras dengan pengampunan bersyarat diperkenankan Yang di-Pertuan Agong pada 18 September lalu.

“Selaras dengan pengampunan bersyarat yang diperkenankan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, tertuduh hendaklah menjalani baki hukuman penjara enam tahun yang telah dikurangkan di bawah tahanan rumah di No. 11, Jalan Langgak Duta, Taman Duta, Kuala Lumpur sehingga 23 Ogos 2028,” katanya.

Najib hadir di mahkamah dengan mengenakan baju Melayu berwarna biru muda berlengan singkat selepas bahagian lengannya dilipat, manakala anak perempuannya, Najwa, turut hadir dengan berbaju kurung bercorak bunga berwarna biru.

Terdahulu, Jabatan Peguam Negara (AGC) memohon Mahkamah Tinggi menyemak semula perintah pelepasan yang dikeluarkan pada 6 November lalu, bagi mendapatkan penjelasan berhubung kedudukan undang-undang baki hukuman penjara Najib serta pelaksanaan tahanan rumah.

Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar berkata, permohonan itu bertujuan mendapatkan perintah pelepasan baharu yang selaras dengan pengampunan bersyarat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, pada 18 September 2026.

“AGC hari ini memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk menyemak dan mempertimbangkan semula perintah pelepasan yang dikeluarkan pada 6 November lalu.

“Permohonan ini bertujuan mendapatkan perintah pelepasan baharu bagi memastikan ia selaras dengan pengampunan bersyarat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong pada 18 September 2026,” katanya.

Permohonan itu antara lain menyentuh implikasi undang-undang susulan perintah pelepasan berkenaan yang dikeluarkan selepas Najib melunaskan denda RM50 juta dalam kes SRC International.

Sebelum ini, AGC membangkitkan persoalan sama ada perintah berkenaan hanya bertujuan membolehkan pembayaran denda dibuat dan baki hukuman penjara bagi kes SRC International dijalani menerusi tahanan rumah, atau membawa maksud hukuman tersebut telah selesai sepenuhnya.

Perbezaan tafsiran itu penting kerana ia turut memberi kesan kepada pelaksanaan hukuman penjara Najib dalam kes berasingan membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Dalam kes berkenaan, Mahkamah Tinggi sebelum ini memutuskan hukuman penjara terhadap Najib hanya bermula selepas beliau selesai menjalani hukuman bagi kes SRC International.

Perkembangan terbaharu itu menyusuli pengesahan UMNO pada Jumaat lalu bahawa Najib telah menjelaskan denda RM50 juta, sekali gus membuka laluan kepada pelaksanaan tahanan rumah berdasarkan syarat pengampunan bersyarat yang diterimanya.

Bagaimanapun, pelaksanaan aturan berkenaan ditangguhkan sementara menunggu penelitian lanjut AGC terhadap perintah pengampunan serta kesan perundangan perintah pelepasan yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi pada 6 November lalu.

Susulan itu, Peguam Negara turut memohon menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi mempersembahkan penjelasan mengenai pendirian AGC berhubung pelaksanaan titah berkenaan.

Istana Negara sebelum ini menegaskan bahawa sebarang hujahan yang mempertikaikan pengampunan bersyarat yang diperkenankan kepada Najib akan dianggap sebagai tindakan ingkar terhadap titah diraja.

Dalam kenyataan pada Sabtu, AGC menegaskan pihaknya tidak pernah mencabar, mengetepikan atau berhasrat menggantung pelaksanaan pengampunan bersyarat berkenaan.

Sebaliknya, AGC menjelaskan kebimbangannya hanya tertumpu kepada implikasi undang-undang perintah pelepasan bertarikh 6 November lalu, sambil menegaskan bahawa pihaknya kekal menghormati prerogatif pengampunan diraja seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

Perintah Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan Najib menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028, selaras dengan pengampunan bersyarat yang diperkenankan kepadanya. - Getaran, 10 November 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved