
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Semalam (11 November), Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu mencadangkan agar kerajaan memberi peluang kepada semua banduan untuk menjalani separuh dari hukuman penjara menerusi perintah tahanan rumah.
Jelas Mohamad Sabu atau juga dikenali sebagai Mat Sabu, cadangan itu perlu diperjuangkan oleh badan bukan kerajaan (NGO) termasuk Bersih, Majlis Peguam dan Persatuan Peguam Syarie.
Malah, beliau sendiri sedia menyerahkan keseluruhan gaji sebagai menteri berjumlah RM11,900 sehingga pembubaran parlimen penggal ini bagi membiayai usaha NGO terlibat.
Baca Artikel Berkaitan: Mat Sabu Cadang Semua Banduan Dapat Peluang Tahanan Rumah, Sedia Serah Gaji Untuk NGO Yang Perjuang Kesaksamaan
Mat Sabu Patut Kemuka Sendiri Cadangan Ke Kabinet, Bukan Seru NGO
Hari ini (12 November), Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan tampil menggesa agar Mat Sabu sendiri yang membawa cadangan tersebut ke Kabinet dan tidak menyeru NGO untuk memperjuangkannya.
Wan Saiful yang juga Naib Presiden Parti Wawasan Negara (Wawasan) menjelaskan, Mat Sabu sebagai menteri boleh mengemukakan cadangan itu secara terus kepada Kabinet bagi mendapatkan persetujuan daripada Peguam Negara bagi menyediakan Rang Undang-Undang berkaitan.
Jelas Wan Saiful, kebiasannya NGO akan menggesa menteri namun keadaan pada masa kini menjadi sebaliknya apabila anggota Kabinet sendiri yang meminta NGO untuk mengusahakan langkah itu.
Wan Saiful Dakwa Mat Sabu Sengaja Cari Publisiti
Pada masa sama, Wan Saiful mendakwa tindakan Mat Sabu yang menyeru agar NGO memperjuangkan cadangan tahanan rumah buat semua banduan itu hanyalah sekadar mencari publisiti.
“Seruan ini sudah terbalik dan luar tabi’e. Biasanya NGO yang buat seruan kepada menteri.
“Tetapi nampaknya menteri PH sudah terlupa bahawa mereka adalah menteri sehingga menteri pula membuat seruan kepada NGO.
“Bagi saya, beliau cuba untuk berlakon saja. Sengaja nak mencari publisiti,” katanya.
Wan Saiful Cadang Mat Sabu Letak Jawatan
Pada masa sama, Wan Saiful turut mencadangkan agar Mat Sabu meletakkan jawatan susulan kenyataannya itu.
“Kalau hanya nak berlakon dan mencari publisiti, lebih baik Presiden Parti Amanah itu letak jawatan Menteri.
“Jangan buang masa rakyat dengan lakonan yang tak laku dan kalau nak ikut jejak langkah DAP memprotes titah Tuanku Agong, saya sarankan letak jawatan seperti mana dilakukan Anthony Loke.
“Lebih ramai letak jawatan, lebih baik untuk negara. Malaysia boleh dibersihkan daripada Menteri-Menteri yang menyanggah titah Raja-Raja Melayu,” tulisnya.
Zahid Sokong Cadangan Mat Sabu, Harap Turut Serah Elaun Sebagai Menteri
Sebelum itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyokong cadangan Mat Sabu itu.
Namun jelas beliau, sumbangan tersebut perlu merangkumi elaun yang diterimanya sebagai menteri.
“Bagus. Cadangan yang baik dan saya harap bukan sahaja gaji tetapi elaun dia (Datuk Seri Mohamad Sabu).
“Elaun beliau juga harus diberikan kalau itu niat untuk membantu,” katanya yang dipetik dari Berita Harian.
Terdahulu, Mat Sabu mengemukakan cadangan tersebut sehari selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membatalkan Perintah Pelepasan Atas Pembayaran Denda pada Jumaat (6 Oktober) lalu dan digantikan dengan perintah yang baharu.
Perintah yang berkuat kuasa serta merta dan selaras dengan Perintah Pengampunan Bersyarat itu membolehkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman bagi kes SRC International Sdn Bhd secara tahanan rumah di kediamannya yang terletak di Langgak Duta sehingga 23 Ogos 2028.
Baca Artikel Berkaitan: Ini Syarat & Sekatan Sepanjang Tahanan Rumah Najib [Video]
Baca Artikel Berkaitan: Mahkamah Benarkan Najib Jalani Tahanan Rumah, Anthony Loke Letak Jawatan Serta-merta





