Pengguna sistem operasi sumber terbuka Linux dijangka akan menghadapi isu dengan cip pemprosesan Intel dalam masa terdekat dan jangka masa panjang kelak kerana Intel telah membuang ramai pekerja-pekerja teknikal mereka, dan sebahagian daripadanya ialah para pekerja yang telah bertanggungjawab untuk membangunkan dan menyelenggara perisian pemandu cip pemprosesan untuk sistem operasi tersebut.
Ia telah dilaporkan bahawa Intel telah membuang sekurang-kurangnya empat pekerja yang bertanggungjawab untuk proses ini, Individu-individu seperti Mustafa Ismail, Tianfei Zhang dan M. Chetan Kumar yang mengemaskini perisian pemandu pelbagai komponen-komponen Intel untuk sistem operasi Linux tidak lagi di syarikat tersebut, dan kemaskini untuk fungsi seperti modem, cip pemprosesan, storan, cip grafik dan sebagainya telah diperlahankan atau diberhentikan sepenuhnya.
Jumlah pengguna sistem operasi Linux mungkin tidak begitu tinggi, tetapi perlu juga diingatkan bahawa banyak syarikat masih lagi menggunakan sistem operasi sumber terbuka tersebut untuk mengurangkan kos operasi perniagaan mereka.
Ketandusan kemaskini baru untuk platform tersebut dijangka akan menyebabkan isu serius bukan sahaja untuk syarikat-syarikat yang bergantung kepadanya, tetapi juga kepada Intel apabila syarikat-syarikat ini mencari alternatif baru untuk sistem mereka.



