KUALA LUMPUR - Laman Facebook rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dibanjiri ucapan terima kasih daripada rakyat Kemboja, susulan termeterainya Perjanjian Damai KL antara negara itu dan Thailand semalam.
Majoriti komen pada laman sosial Anwar dan laman rasmi Pejabat Perdana Menteri (PMO Malaysia) itu meluahkan penghargaan mendalam terhadap peranan Malaysia, yang berhasil merintis perjanjian bersejarah tersebut untuk mengembalikan kestabilan dan kepercayaan di sempadan kedua negara.
“Terima kasih banyak atas usaha anda membantu kami,” kata seorang pengguna Facebook yang menggunakan akaun Keo Dalis.

Seorang lagi pengguna, Hei Nail pula menulis, “Terima kasih banyak kerana menganjurkan perjanjian damai ini,” manakala Teav Kim Leamg pula berkongsi, “Saya salah seorang rakyat Kemboja. Terima kasih atas kebaikan anda yang sentiasa membantu dan menyokong Kemboja mencari keamanan.”
Tinjauan Getaran mendapati, ucapan seumpama itu terus membanjiri ruangan komen sepanjang hari, dengan ramai menyifatkan perjanjian terbabit itu bab baharu dalam aspek keharmonian serantau.
Bukan sekadar rakyat Kemboja, kepimpinan Anwar turut menerima pujian netizen Malaysia yang menyifatkan beliau bijak memperkukuh keamanan dan diplomasi serantau.
Seorang pengguna menulis: “Ramai member aku yang Cambodia dan Thai ‘like’ bila aku share pasal ni hari ini. Tahniah PMX,” manakala seorang lagi pula berdoa agar perjanjian itu membawa “manfaat kepada ummah dan negara tercinta.”
Menurut Bernama, Perjanjian Damai KL yang ditandatangani di luar sesi Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 itu merupakan langkah penting dalam membina semula kepercayaan dua hala antara Thailand dan Kemboja selepas bertahun-tahun dilanda ketegangan.
Malaysia selaku pengerusi Sidang Kemuncak ASEAN tahun ini, memainkan peranan sebagai perantara dalam memudah cara perbincangan yang membawa kepada perjanjian bersejarah tersebut.
Sementara itu, Anwar dalam hantaran sama menyifatkan majlis menandatangani perjanjian itu sebagai ‘detik bersejarah’ yang mencerminkan kejayaan diplomasi ASEAN.
Katanya, perjanjian terbabit adalah kesinambungan kepada gencatan senjata yang dimeterai di Putrajaya pada 28 Julai lalu, dalam usaha bersama menuju keamanan dan kestabilan serantau.

Perdana Menteri turut merakam penghargaan kepada rakan serantau dan antarabangsa termasuk Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump atas sokongan mereka yang menggalakkan pemimpin Kemboja dan Thailand melangkah ke arah perdamaian.
Beliau turut menegaskan kepentingan memperluas agenda keamanan ini ke wilayah bergolak lain, khususnya Gaza, agar keadilan dan kemanusiaan kembali menjadi teras kepada tatanan dunia.
“Perjanjian ini menjadi bukti suara ASEAN yang semakin berpengaruh sebagai jambatan keamanan, membuktikan bahawa kesederhanaan dan dialog mampu menyelesaikan pertikaian paling rumit sekali pun,” katanya. - Getaran, 27 Oktober 2025


