Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.

Hari ini genap 45 tahun sejak Tun Dr Mahathir Mohamad mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia yang keempat pada 16 Julai 1981.
Bersempena tarikh bersejarah itu, negarawan berusia 101 tahun berkenaan berkongsi beliaulah yang memperkenalkan sistem perakam waktu (KPW) atau lebih dikenali sebagai ‘punch card’ dalam perkhidmatan awam ketika awal pentadbirannya.
Dalam video yang dikongsikan, Tun Mahathir menjelaskan langkah tersebut diambil bagi membentuk budaya kerja yang lebih berdisiplin, sekali gus memastikan penjawat awam lebih menitikberatkan soal ketepatan masa.
Menurutnya, idea memperkenalkan sistem itu tercetus selepas menyedari ada kakitangan yang meninggalkan pejabat lebih awal sebelum waktu bekerja tamat ketika beliau menyandang jawatan sebagai Menteri Perdagangan dan Perindustrian (MITI).
Artikel berkaitan: 101 Tahun Tun Mahathir, Ini 7 Fakta Mengenai Beliau Yang Ramai Tak Tahu!
Artikel berkaitan: Wanita Pasang Mesin Punch Card di Rumah Supaya Suami Pulang Sebelum Jam 9 Malam

“Saya suka berpegang pada masa, suka datang pejabat tepat pada masa, tidak lewat sangat. Saya dapati kalau ada temu janji, orang datang lewat saya berasa kecewa.
“Saya masa itu Menteri MITI. Bila pukul 3 petang, saya bangun hendak tengok keadaan di luar macam mana. Saya tengok ramai orang keluar, jadi saya tanya, kenapa?” katanya.
Menurut Tun Mahathir, alasan yang diberikan kakitangan ketika itu adalah untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas walaupun waktu pejabat masih belum berakhir.
Beliau menyifatkan amalan tersebut sebagai sesuatu yang tidak wajar kerana setiap pekerja perlu menunaikan tanggungjawab mengikut tempoh waktu bekerja yang telah dipersetujui.
“Jadi masa belum balik, dia sudah balik. Itu tidak kena langsung. Kita buat kerja sekian jam, kita kena tunaikan janji kita.
“Selepas itu, apabila saya menjadi Perdana Menteri, saya buat keputusan mengadakan perakam waktu masuk dan keluar pejabat dan akhirnya ia menjadi amalan sehingga sekarang,” katanya.
Walaupun penggunaan kad perakam waktu semakin beralih dengan sistem biometrik dan rekod kehadiran digital, prinsip disiplin masa serta pematuhan waktu bekerja yang diperkenalkan ketika itu terus menjadi antara amalan penting sama ada dalam perkhidmatan awam dan swasta.
Sumber: Facebook
Sumber: FacebookArtikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.






