
Perkataan 'Agak-Agak', 'Boleh' & 'Kaypoh' Kini Dalam Kamus Inggeris Oxford
Perkembangan bahasa sentiasa berubah mengikut peredaran zaman, termasuk kemunculan perkataan baharu yang mencerminkan cara masyarakat berkomunikasi pada masa kini.
Daripada perbualan santai harian rakyat Malaysia khususnya ketika memasak, kini perkataan 'agak-agak' dimasukkan dalam Kamus Bahasa Inggeris Oxford (OED).
Menurut kamus itu, agak-agak digunakan di Malaysia dan Singapura terutamanya dalam masakan.
Ia bermaksud anggaran atau tekaan, berbanding pengukuran yang tepat. Perkataan itu juga kerap digunakan sebagai pengubah suai.

Perkataan itu pertama kali digunakan pada 1970-an dan bukti terawal ada dalam akhbar New Nation (Singapura) pada tahun 1975.
Selain itu, perkataan 'boleh' juga turut dimasukkan ke dalam kamus itu.
'Boleh' pertama kali direkodkan dalam New Straits Times pada tahun 1995.
'Boleh' merujuk kepada dua maksud iaitu yang melibatkan penggunaan bagi tujuan kata kerja. Menurut OED, 'boleh' bermakna mempunyai kuasa, kebolehan atau kapasiti untuk melakukan sesuatu atau menangani (sesuatu) dengan jayanya.

"Dipopularkan dengan slogan pengiklanan Malaysia Boleh, sebahagian daripada kempen pemasaran untuk minuman coklat Milo, yang menggalakkan sokongan untuk atlet Malaysia semasa Sukan Asia Tenggara yang diadakan di Singapura pada tahun 1993.
"Frasa itu kemudiannya menjadi seruan yang digunakan secara meluas dalam sukan dan politik Malaysia," katanya.
Bagi penggunaan dengan kata seru, ia bermaksud menyatakan persetujuan, konsesi atau kelulusan ('ya','baiklah').
Baca juga:Ia juga digunakan secara tanya pada akhir pernyataan, untuk meminta persetujuan atau pengesahan ('okey'?).
Kamus itu juga mengemaskini perkataan Kaypoh yang mempunyai dua maksud. Bagi kata nama, 'kaypoh' merupakan orang yang suka mengganggu atau mengusik, orang yang melibatkan diri dalam urusan orang lain tanpa jemputan dan orang yang suka mencampuri urusan orang lain.

Bagi kata sifat pula, 'kaypoh' membawa maksud campur tangan, ingin tahu dan suka menyibuk.
Perkataan 'kaypoh' pertama kali digunakan pada tahun 1973 dan merupakan pinjaman daripada bahasa Cina.





