PERMATANG PAUH - Perkembangan lanjut berhubung penganjuran perlumbaan Formula Satu (F1) di Malaysia akan diumumkan pada Ahad ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Saya akan umumkan perkembangannya (F1) pada Ahad ini,” katanya ringkas ketika ditemui media di Majlis Perasmian Pembukaan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Tahir Jalaluddin dan Pelancaran Program Nuqaba di sini pada Sabtu.
Sebelum ini, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengesahkan pihaknya sedang meneliti kemungkinan Malaysia kembali menjadi tuan rumah perlumbaan Formula Satu (F1) di Litar Antarabangsa Sepang susulan cadangan menggantikan penganjuran Grand Prix (GP) Bahrain.
Menterinya, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, Anwar dan KBS sudah menerima makluman awal berhubung kemungkinan penganjuran perlumbaan berprestij itu di Sepang.
Katanya, perbincangan serta penelitian sedang giat dijalankan bagi menilai segala aspek sebelum sebarang keputusan dibuat.
Tambah Taufiq, KBS kekal komited untuk terus menyokong pembangunan sukan negara termasuk sukan permotoran, namun sebarang perkembangan hanya akan diumumkan selepas semua proses berkaitan dimuktamadkan.
Pada Jumaat, media tempatan melaporkan Litar Antarabangsa Sepang berpotensi kembali menjadi tuan rumah Formula Satu musim 2026 selepas Malaysia disenaraikan sebagai antara pilihan untuk menggantikan pusingan GP Bahrain yang berdepan ketidaktentuan susulan konflik di rantau Asia Barat.
Antara pilihan yang berada dalam senarai ialah Sepang, dengan slot berpotensi diadakan antara GP Azerbaijan di Baku pada 26 September dan GP Singapura pada 11 Oktober.
GP Bahrain dan GP Arab Saudi di Jeddah yang dijadual berlangsung pada April lalu terpaksa ditangguhkan susulan konflik Iran sebelum usaha untuk menjadualkan semula perlumbaan di Sakhir kembali berdepan masalah apabila situasi di rantau itu semakin tegang.
Malaysia kali terakhir menganjurkan perlumbaan F1 di Litar Antarabangsa Sepang pada 2017 sebelum penganjurannya dihentikan susulan faktor kos yang tinggi serta pulangan komersial yang tidak lagi menguntungkan.






