PM nasihat golongan muda tidak terpengaruh fahaman kebencian, perpecahan

LocalPolitics
25 Jul 2026 • 4:22 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: PM nasihat golongan muda tidak terpengaruh fahaman kebencian, perpecahan

PERMATANG PAUH: Golongan muda dinasihatkan supaya tidak terpengaruh dengan fahaman kebencian dan perpecahan kerana tindakan itu hanya akan melemahkan negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, generasi muda perlu bangkit sebagai satu pasukan bagi membina Malaysia yang lebih maju serta berjaya.

Beliau berkata, budaya menghasut kebencian antara kaum perlu ditolak sebaliknya perpaduan dan usaha memperbaiki diri harus menjadi keutamaan demi masa depan negara.

Menurut beliau, kerajaan berpegang kepada prinsip membantu semua rakyat tanpa mengira kaum dengan memberi penyelesaian kepada setiap isu, bukannya meniup sentimen yang memecah-belahkan masyarakat.

“Inilah dia Malaysia. Kita cuba angkat semua. Ada masalah, kita tangani dengan baik. Kita beri penyelesaian, bukan menghasut. Kita dengar setiap kelompok dan kita bantu supaya kelemahan yang ada diperbaiki,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Kemuncak National Training Week (NTW) 2026 di sini, hari ini.

Anwar berkata, kerajaan sentiasa mengadakan libat urus dengan pelbagai kumpulan masyarakat bagi memastikan tiada komuniti yang tercicir daripada arus pembangunandan pendekatan itu secara tidak langsung mencerminkan komitmen Kerajaan Madani untuk mengangkat martabat semua rakyat secara adil dan inklusif.

“Saya mempunyai cita-cita besar untuk melihat Malaysia diangkat sebagai sebuah negara yang hebat di rantau ini dan di Asia. Anak-anak muda, anda boleh lakukan, kita bekerja bersama-sama, tingkatkan diri kita dan jadikan Malaysia sebuah negara yang hebat serta berjaya.

“Jadi, jangan terpalit dengan fahaman yang melemahkan dan merosakkan,” katanya yang memberitahu, usaha memperkukuh tadbir urus serta membanteras rasuah akan terus menjadi keutamaan kerajaan bagi memastikan kebocoran dana awam dapat dihentikan.

Sementara itu, beliau berkata, tindakan terhadap individu yang terlibat dalam rasuah bukan dibuat atas keputusan politik, sebaliknya melalui siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), pendakwaan oleh Jabatan Peguam Negara dan diputuskan oleh mahkamah.

“Kalau ada bukti, siasat dan dakwa. Hukum itu kerja hakim, bukan saya. Kita tidak boleh berkompromi dengan salah laku dan penyalahgunaan dana kerana akhirnya rakyat juga yang terpaksa menanggung bebannya,” katanya. – UTUSAN

The post PM nasihat golongan muda tidak terpengaruh fahaman kebencian, perpecahan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved