
PUTRAJAYA: Edisi ketiga Festival of Ideas (FOI) Putrajaya 2026 telah mengangkat 10 idea terbaik yang akan dibawa ke peringkat Jemaah Menteri untuk pertimbangan.
Kesemua idea berkenaan itu kini diletakkan di bawah platform, Risalah Idea Malaysia antaranya keperluan mewujudkan aplikasi tunggal bagi segala urusan kerajaan agar pengguna tidak lagi perlu mengakses pelbagai portal berbeza.
Idea lain yang terpilih ialah memperkenalkan kayu ukur kejayaan sesebuah universiti melalui impak iaitu mengukur anjakan RPTM 2026-2035 daripada graduan sedia bekerja kepada pembina negara, output kepada impak dan institusi berasingan kepada ekosistem bersepadu.
Idea ketiga ialah memperkenalkan Platform Digital Pembangunan Kerjaya Graduan iaitu platform yang yang menghimpunkan pelajar dan industri dengan data yang sah untuk memudahkan padanan pasaran kerja.
Idea keempat ialah teknologi invented, designed and owned by Malaysians, daripada pengguna kepada pencipta.
Idea kelima pula ialah memperkenalkan Insentif Kadar Bayaran Balik Pinjaman iaitu mengurangkan kadar bayaran balik pinjaman untuk pelajar berdasarkan penglibatan aktif dalam aktiviti dalam dan luar universiti.
Idea seterusnya ialah memperkenalkan ujian dan pengembangan inovasi tempatan bersama industri Bio-Kenaf, pengesanan keretakan landasan Shinkansen dan pengisihan ikan.
Seterusnya ialah, memperkenalkan Platform Kesejahteraan Bersepadu iaitu platform yang menghubungkan mahasiswa, staf universiti dan komuniti melalui aktiviti kebajikan, kesihatan mental serta kelestarian alam sekitar.
Idea lain termasuk cadangan memperkenalkan universiti ‘turun ke kampung’ iaitu projek bermula dengan keperluan komuniti, bukan andaian.
Idea lain diangkat ialah cadangan untuk membangunkan aplikasi pengesan pautan dan fail berbahaya menggunakan teknologi AI untuk keselamatan peranti rakyat.
Manakala, idea terakhir dipilih ialah ketahanan kewangan isi rumah dan golongan terdedah termasuk hutang isi rumah, warga emas dan tekanan kos sara hidup.
Kesemua 10 idea itu terangkum di bawah lima kluster utama iaitu negara dan tadbir urus; ilmu, inovasi dan masa hadapan; ekonomi dan industri; kelestarian dan kesejahteraan serta keselamatan dan ketahanan negara.
FOI Putrajaya 2026 menutup tirainya hari ini dengan 654 idea baharu dan segar dikumpulkan menerusi ‘Wall of Ideas’ sepanjang tiga hari penganjuran. – UTUSAN
The post Perkenal aplikasi tunggal urusan kerajaan anrara 10 idea terbaik FOI 2026 appeared first on Utusan Malaysia.






