Perkenalkan generasi muda kepada dunia perniagaan

LocalBusiness & Finance
16 Aug 2026 • 11:22 AM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Perkenalkan generasi muda kepada dunia perniagaan

Kota Kinabalu: Satu inisiatif baharu bertujuan memupuk generasi usahawan masa depan kini meletakkan kanak-kanak seawal usia 13 tahun sebagai tumpuan dalam usaha komuniti perniagaan melahirkan pemimpin muda.

Presiden Dewan Perniagaan Malaysia-China (MCCC) Sabah Datuk Dexter Lau berkata pertubuhan perniagaan perlu melihat melangkaui amalan jaringan tradisional dan kunjungan hormat yang bukan sahaja memakan masa malah kurang berkesan.

“Sebaliknya organisasi perlu melabur secara langsung dalam usaha mempersiapkan golongan muda untuk mengambil alih kepimpinan daripada generasi masa kini.

“Perancangan penggantian perlu dimulakan jauh sebelum golongan muda melangkah ke universiti atau memasuki alam pekerjaan.

“Anak-anak daripada keluarga yang menjalankan perniagaan boleh mendapat manfaat daripada pendedahan awal kepada dunia pekerjaan, kepimpinan dan keusahawanan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan bengkel sulung Next Generation Entrepreneurs Organisation (NGEO) di Hakka Hall pada Sabtu.

Berkongsi pengalaman terlibat dalam perniagaan keluarga, beliau berkata dirinya telah didedahkan sejak usia muda kepada cara sesebuah organisasi berfungsi, dengan belajar melalui pemerhatian dan penglibatan secara langsung.

Menurutnya golongan muda ibarat span yang boleh menyerap banyak perkara.

“Oleh itu saya menegaskan bahawa pendedahan berulang kepada aktiviti perniagaan boleh membantu kanak-kanak membina keyakinan, kemahiran komunikasi dan kebolehan kepimpinan sebelum mereka secara rasmi memasuki alam pekerjaan.

“Inisiatif itu juga bertujuan membina hubungan dalam kalangan anak-anak daripada keluarga perniagaan sekali gus mewujudkan rangkaian yang berpotensi berkembang menjadi hubungan profesional yang bernilai pada masa hadapan.

“Persahabatan yang terjalin sejak kecil berpotensi menjadi hubungan perniagaan yang berkekalan apabila kanak-kanak ini membesar dan suatu hari nanti menjadi pengurus, pemilik perniagaan dan pemimpin,” jelasnya.

Lau menyatakan dewan-dewan perniagaan dan organisasi lain ketika ini banyak memberi tumpuan kepada tanggungjawab sedia ada namun kurang memberi perhatian kepada perancangan penggantian dan pembangunan pemimpin masa depan.

Terdahulu program khas untuk ahli, Bengkel Membuat Kuih Bulan Snowskin sempena Perayaan Pertengahan Musim Luruh menarik penyertaan kira-kira 30 kanak-kanak berusia 13 tahun dan ke bawah.

Lau mengalu-alukan sambutan menggalakkan itu yang disifatkannya sebagai sesuatu yang tidak dijangka dengan penganjur mereka bentuk bengkel berkenaan berasaskan pembelajaran praktikal mengenai perniagaan.

Kanak-kanak terbabit diajar menghasilkan kuih bulan dari awal sambil mempelajari mengenai bahan-bahan, kos, penetapan harga dan margin keuntungan. Para peserta turut diberikan kalkulator untuk mengira kos menghasilkan produk serta harga yang sesuai untuk dijual.

“Inisiatif ini lebih daripada sekadar satu bengkel. Ia adalah usaha menggunakan rangkaian dan sumber MCCC untuk memberikan golongan muda pendedahan, persahabatan dan pengetahuan praktikal yang mereka perlukan untuk menjadi pemimpin masa depan.

“Dengan Pengerusi NGEO Charlene Chea dan timbalan pengerusi Katryn Haw serta bendahari Aerith Lee menerajui program ini pendekatan tersebut mungkin kelihatan agak bercita-cita tinggi bagi peserta yang begitu muda namun penekanan terhadap perniagaan memang disengajakan.

“Lagipun kita masih merupakan sebuah dewan perniagaan. Segala-galanya perlu berkait dengan perdagangan dan menjalankan perniagaan,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved