
PETALING JAYA: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) telah menyalurkan lebih RM3.85 juta pembayaran faedah menerusi Skim Lindung 24 Jam dalam tempoh dua bulan pertama pelaksanaannya, hasil daripada 1,840 tuntutan yang diluluskan.
Dalam tempoh 1 Jun hingga 26 Julai lalu, jumlah permohonan tuntutan di bawah skim tersebut adalah sebanyak 2,130 permohonan merangkumi kos rawatan dan implan serta bayaran Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS), Faedah Pengurusan Mayat (FPM), Faedah Orang Tanggungan (FOT) dan Bayaran Ganti Belanja Perubatan.
Timbalan Ketua Eksekutif (Strategi dan Korporat) Perkeso, Edmund Cheong Peck Huang berkata, sambutan yang diterima setakat ini sangat menggalakkan apabila 92 peratus pekerja memilih untuk terus menikmati perlindungan di bawah skim tersebut.
Ujarnya, perkembangan terkini turut menunjukkan trend peningkatan ketara bagi laporan kemalangan harian di bawah skim baharu berkenaan.
“Purata kes yang dilaporkan meningkat daripada 21.1 kes sehari pada Jun 2026 kepada 57.6 kes sehari bagi tempoh Julai 2026. Secara keseluruhannya, skim ini mencatatkan purata 38.0 kes sehari sejak mula dilaksanakan.
“Peningkatan laporan ini membuktikan kesedaran pekerja terhadap hak perlindungan sosial serta faedah skim Lindung 24 Jam semakin meningkat dari semasa ke semasa,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas mengenai isu kelewatan proses kelulusan, beliau menepis persepsi negatif di platform media sosial yang mendakwa borang serta saluran tuntutan adalah rumit dan memakan masa yang lama.
Katanya, kelewatan yang berlaku kebanyakannya berpunca daripada kelemahan penyerahan dokumen sokongan yang tidak lengkap atau maklumat perubatan daripada fasiliti Kesihatan yang lambat diterima.
“Sebenarnya permohonan yang memenuhi syarat serta mempunyai dokumen lengkap mampu diselesaikan dalam tempoh yang sangat pantas iaitu kurang daripada 48 jam.
“Bagi mempercepatkan urusan, Perkeso terus memantapkan peranan Skuad Perkeso Prihatin bagi menyantuni pencarum dan waris yang ditimpa musibah secara terus di lapangan tanpa menunggu permohonan rasmi,” katanya.
Dalam pada itu, Perkeso turut mengingatkan para majikan agar memainkan peranan aktif dengan memastikan rekod caruman setiap pekerja diselenggara dan dikemas kini secara berkala.
Tambahnya, kemudahan pendaftaran dan semakan tuntutan kini boleh diakses secara dalam talian menerusi portal rasmi Perkeso bagi memudahkan urusan permohonan diproses secara pantas.
Mengenai perancangan jangka panjang, Perkeso bersama Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) bakal melaksanakan penilaian menyeluruh terhadap skim tersebut pada penghujung tahun ini.
Penilaian berkenaan akan merangkumi aspek kadar penyertaan sektor awam dan swasta, trend tuntutan semasa, serta kemampanan dana kewangan sebagai asas kukuh bagi penambahbaikan dasar pada masa hadapan. – UTUSAN
The post Perkeso lulus 1,840 tuntutan Lindung 24 Jam, salur RM3.85j faedah appeared first on Utusan Malaysia.






