Rakyat Malaysia di Jakarta cemas, jalan ditutup susulan demonstrasi

28 Aug 2026 • 9:58 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Rakyat Malaysia di Jakarta cemas, jalan ditutup susulan demonstrasi

PETALING JAYA – Seorang rakyat Malaysia yang kini berada di Jakarta, Indonesia mengakui berasa cemas susulan demonstrasi yang berlaku di beberapa kawasan ibu negara itu sejak semalam.

Menerusi perkongsian di Threads, wanita menggunakan nama akaun @Izzly Nizzua berkata, pergerakannya di sekitar Jakarta terjejas apabila beberapa laluan terpaksa ditutup sehingga pemandu yang membawa mereka perlu menggunakan jalan alternatif.

“Kami ada di Jakarta, banyak jalan tutup sebab rusuhan dari semalam. Kami dari PIK ke Tanah Abang dekat sejam lebih. Pemandu terpaksa bawa jalan dalam.

“Scary (menakutkan). Malah, nak balik ke lapangan terbang pun sama. Anxious (cemas) sangat!” katanya.

Dalam ruangan komen, wanita itu turut memaklumkan keadaan di sekitar Thamrin City masih terkawal ketika dikunjunginya, semalam memandangkan lokasi berkenaan berdekatan tempat penginapannya di Tanah Abang.

Bagaimanapun katanya, pemandu e-hailing yang membawa mereka memberi peringatan supaya tidak menuju ke kawasan Senayan susulan situasi demonstrasi.

“Semalam kami pergi ke Thamrin City masih okey sebab kami duduk area Tanah Abang, dekat. Tapi pemandu Grab dah beri amaran jangan ke Senayan macam tu. Semalam pun ada banyak kawasan rusuhan,” katanya.

Dia turut berkata demonstrasi masih berlaku sehingga pagi ini, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat Malaysia yang mempunyai penerbangan ke Jakarta atau perlu bergerak menuju ke lapangan terbang.

Terdahulu, demonstrasi membabitkan ribuan peserta berlangsung di sekitar kompleks Dewan Perwakilan Rakyat/Majelis Permusyawaratan Rakyat (DPR/MPR) di Jakarta Pusat, semalam dengan antara tuntutannya ialah langkah anti rasuah lebih tegas serta beberapa pembaharuan politik dan sosial.

Situasi dilaporkan memuncak pada sebelah petang hingga malam sehingga berlaku kerosakan terhadap beberapa kemudahan di sekitar kompleks Parlimen, manakala pihak berkuasa Indonesia menjalankan inventori bagi mengenal pasti kerosakan yang berlaku.

Demonstrasi itu turut menjejaskan pergerakan trafik apabila beberapa pintu masuk Tol Dalam Kota termasuk Senayan, Slipi, Kuningan dan Tebet ditutup sementara selepas kumpulan demonstran memasuki lebuh raya berkenaan.

Malah, sehingga kira-kira pukul 3 pagi waktu tempatan hari ini, kumpulan demonstrasi dilaporkan masih berkumpul di beberapa lokasi sekitar Slipi dan Petamburan, manakala aliran trafik di Jalan Jenderal Gatot Subroto belum kembali pulih sepenuhnya. – KOSMO! ONLINE

The post Rakyat Malaysia di Jakarta cemas, jalan ditutup susulan demonstrasi appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved