
Bulan ini genap 16 tahun saya mula menggunakan telefon pintar pertama iaitu sebuah HTC HD7 dengan sistem operasi Windows Phone 7. Telefon Nokia N93 lama saya telah dibersarakan dengan data dipindahkan menggunakan kad SD. Tetapi masih ada gambar-gambar ditinggalkan dalam N93 kerana storan tidak mencukupi dan akibatnya “terperangkap” dalam telefon selama-lamanya.

Jika anda mempunyai telefon lama sebelum era telefon pintar, saya yakin anda juga mempunyai masalah yang sama keran lebih 15 tahun lalu storan awanan tidak wujud. Maka di Jepun syarikat telekomunikasi KDDI menawarkan perkhidmatan Cell Phone Memory Restart yang membantu pengguna yang ingin menghidupkan semula telefon lama dan kemudian mengakses storan di dalamnya.
Mereka menawarkan perkhidmatan bukan sahaja kepada pelanggan tetapi orang awam yang mahu menghidupkan telefon lama. Ini dilakukan dengan mengecas semula bateri yang mungkin tidak mempunyai cas kerana pengecas sudah lama hilang. Selepa diakses mereka menawarkan perkhidmatan mencetak gambar yang berjaya diselamatkan.
Tidak terhenti di situ Cell Phone Memory Restart juga memberikan pengecas gantian untuk telefon lama sekiranya mereka masih mempunyai stok. Kesemua ini ditawarkan secara percuma. Perkhidmatan ditawarkan secara terhad hujung minggu lalu dan akan diadakan sekali lagi pada 6-8 November bertempat di Ginza 456, Tokyo.
Sumber – Omoidekeitai






