
BAGI seseorang yang sudah lama berkecimpung dalam bidang jenayah dan keselamatan, melihat satu demi satu kes membabitkan pelajar bukan sekadar berita yang berlalu di hadapan mata.
Ada rasa tanggungjawab yang mendorong penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim untuk tampil menawarkan pengalaman dan pandangan, khususnya dalam usaha menangani isu keselamatan serta buli di sekolah.
Namun, di sebalik kesediaan itu, terselit satu persoalan yang membuatkan beliau akhirnya bersuara.
Mengapa usaha yang sudah beberapa kali dihulurkan seakan-akan tidak berjawab?
Menerusi satu hantaran di Facebook miliknya, Kamal meluahkan rasa terkilan apabila beberapa usaha untuk mendapatkan ruang perbincangan bersama pihak berkaitan didakwa tidak mendapat maklum balas.
Menurutnya, perkara itu bukan berlaku sekali, malah sudah berlarutan sejak lebih setahun lalu.

“Saya pernah bercakap secara bersemuka dengan Setiausaha Politik (SUPOL) Menteri Pendidikan lebih setahun yang lalu berkenaan isu-isu di sekolah. Saya utarakan beberapa idea dan ketika itu dimaklumkan akan dihubungi untuk perbincangan lanjut.
“Namun selepas tiga bulan menunggu, masih tiada khabar berita. Saya tinggalkan pesanan di pejabat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) beberapa kali, tetapi sehingga sekarang tiada balasan,” katanya.
Kamal bagaimanapun memilih untuk bersangka baik dan tidak terus meletakkan kesalahan kepada mana-mana pihak.
Katanya, mungkin terdapat mesej yang terlepas pandang atau pihak pentadbiran tidak mengetahui latar belakang pengalamannya dalam bidang berkenaan.
Situasi sama turut berlaku apabila beliau cuba menghubungi Menteri Pendidikan berhubung isu keselamatan dan buli yang semakin mendapat perhatian.
“Dua tiga hari tiada respons, saya komen pula di halaman rasmi dan mohon supaya melihat peti masuk. Setakat hari ini, masih belum mendapat respons,” ujarnya.
Bukan itu sahaja, Kamal turut mendakwa pernah menawarkan kerjasama selepas membaca saranan seorang pemimpin politik supaya masyarakat bersama-sama memainkan peranan dalam membanteras buli.

Beliau tampil meninggalkan komen ringkas mengajak pihak berkenaan bekerjasama, namun menurutnya, beberapa bulan berlalu tanpa sebarang maklum balas.
Bagi Kamal, apa yang dilakukannya bukan kerana mahu mencari perhatian atau pengiktirafan.
Sebaliknya, beliau mendakwa pernah berinteraksi secara langsung dengan beberapa pemimpin negara dan pegawai kanan kerajaan bagi membincangkan isu lain sebelum ini.
Dalam hantaran sama, Kamal turut berkongsi bahawa terdapat inisiatif kerajaan yang menurutnya mempunyai persamaan dengan idea serta pendekatan yang pernah dibawanya.
Namun, perkara itu tidak pernah menjadi alasan untuk beliau menuntut nama atau pengiktirafan.
“Saya lakukan bukan kerana nama. Saya lakukan kerana saya seorang patriot, demi tanah air dan generasi mendatang,” katanya.
Luahan itu kemudian kembali kepada perkara paling dekat dengan hatinya, iaitu nasib mangsa yang terlibat dalam kes keselamatan dan buli.
Kamal secara khusus menyampaikan permohonan maaf kepada Irene Sofiya serta mangsa-mangsa lain yang melalui nasib tragis.

“Jadi adik Irene Sofiya, maafkan saya kerana saya telah berusaha sebaik mungkin menawarkan diri. Sama ada dek terlepas pandang, bertepuk sebelah tangan atau ibarat melukut di tepi gantang, hanya masa akan menentukan,” tulisnya.
Walaupun kecewa dengan apa yang berlaku, Kamal menegaskan luahan tersebut bukan bertujuan mencari pihak untuk dipersalahkan.
Sebaliknya, beliau mahu kelemahan yang ada dilihat dan diperbaiki supaya usaha mencegah kejadian sama tidak terhenti sekadar pada kata-kata.
Malah, beliau memberi jaminan akan terus berusaha dengan caranya sendiri selagi kudrat masih ada.
“Biarpun tiada lencana, pingat dan kalung disemat di dada, berusaha menyelamatkan mereka yang senasib denganmu dengan caraku sendiri takkan saya hentikan selagi saya masih bernyawa,” katanya.
Di sebalik luahan panjang itu, jelas satu perkara yang cuba disampaikan Kamal, usaha melindungi anak-anak daripada ancaman buli dan masalah keselamatan tidak seharusnya menjadi tanggungjawab satu pihak sahaja.
Bagi beliau, selagi masih ada ruang untuk menyumbang pengalaman dan tenaga, pintu kerjasama wajar sentiasa dibuka.
Hantaran itu diakhiri dengan doa buat semua mangsa yang pergi dalam keadaan tragis, dengan harapan perjuangan untuk mewujudkan persekitaran sekolah yang lebih selamat tidak berakhir bersama satu-satu kes.






