Perkongsian Isu Halal, JAKIM Tegaskan Halal Inquiry Company Direktori Tiada Kaitan Dengan Pihaknya

11 Aug 2026 • 9:56 AM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

Perkongsian Isu Halal, JAKIM Tegaskan Halal Inquiry Company Direktori Tiada Kaitan Dengan Pihaknya

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menegaskan bahawa pihaknya tidak mempunyai sebarang kaitan dengan platform media sosial Halal Inquiry Company Direktori (HICD) yang memuat naik kandungan dan kenyataan berkaitan isu halal sebuah syarikat baru-baru ini.

Menerusi satu kenyataan, Ketua Pengarah, Datuk Sirajuddin Suhaimee memaklumkan bahawa JAKIM memandang serius perkara ini.

"JAKIM ingin menegaskan bahawa HICD tidak mempunyai sebarang hubungan dengan JAKIM dan tidak pernah dilantik, diiktiraf atau diberi kuasa oleh JAKIM dalam apa-apa kapasiti berkaitan Pensijilan Halal Malaysia.

"Sebarang kenyataan, pandangan, ulasan, semakan, siasatan, penilaian atau kesimpulan yang dibuat dan disiarkan oleh HICD adalah atas kapasiti pihak berkenaan sendiri dan tidak mewakili pendirian, keputusan atau kenyataan rasmi JAKIM," katanya.

Menurutnya, usaha meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan halal hendaklah sentiasa berasaskan fakta, dibuat secara bertanggungjawab dan tidak menimbulkan kekeliruan, prasangka atau generalisasi terhadap mana-mana individu, kaum atau komuniti.

Baca juga:

"Perbezaan budaya, bahasa dan latar belakang masyarakat merupakan sebahagian daripada kepelbagaian yang membentuk keharmonian Malaysia.

"Justeru, penyampaian berkaitan isu halal hendaklah dilakukan dengan penuh tanggungjawab, hikmah dan berhemah," ujarnya.

JAKIM juga menyeru orang ramai agar tidak membuat kesimpulan berdasarkan maklumat yang belum disahkan dan mendapatkan pengesahan berkaitan status Pensijilan Halal Malaysia melalui Portal Rasmi Halal Malaysia serta saluran rasmi JAKIM.

"JAKIM kekal komited memastikan kefahaman masyarakat mengenai halal disampaikan secara tepat, berautoriti dan berlandaskan fakta yang sahih, demi kemaslahatan dan kesejahteraan ummah," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved