
KOTA BHARU: Tanah Perkuburan Islam Kampung Banggol di sini, didakwa antara tanah perkuburan Islam terbesar dan terpanjang di Malaysia, malah menyimpan kisah sejarah tersendiri diwarisi sejak ratusan tahun lalu.
Tanah perkuburan seluas hampir lapan hektar itu merangkumi kira-kira 2.4 hektar tanah persendirian, manakala 5.6 hektar lagi tanah diwakafkan dan mempunyai 20 pintu.
Imam Masjid Sultan Ismail Petra Mukim Banggol, Muhammad A’mmar Azlan berkata, berdasarkan cerita orang lama, kawasan itu dipercayai wujud sejak ratusan tahun lalu dan dikaitkan dengan makam Cik Siti Wan Kembang.
Katanya, tanah perkuburan berkenaan menjadi tempat persemadian tokoh ulama terkenal termasuk bekas Mufti Kelantan, Allahyarham Datuk Mohd. Noor Ibrahim dan Allahyarham Abdul Samad Muhammad Saleh atau lebih dikenali sebagai Tuan Tabal.
“Kebanyakan jenazah dikebumikan di sini adalah penduduk sekitar daerah ini. Mengikut cerita orang lama, kawasan ini dinamakan Banggol kerana jarang berlaku banjir berbanding di tempat lain,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Muhammad A’mmar berkata, tanah perkuburan itu sebelum ini dipenuhi hutan, sebelum Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) bersama pihak masjid mengambil inisiatif membersihkan kawasan itu tiga tahun lalu.
Seorang penduduk kampung, yang mahu dikenali sebagai Mie, 55, sudah menetap di kawasan berkenaan sejak kecil dan sering mendengar dakwaan bahawa Tanah Perkuburan Islam Kampung Banggol adalah tanah perkuburan terbesar dan terpanjang di negara ini.
Bagaimanapun, dia tidak dapat memastikan kesahihan dakwaan tersebut.
“Kubur di sini besar dan panjang, ramai ahli keluarga penduduk yang meninggal dunia diuruskan pengebumian di sini.
“Ada juga rumah penduduk berhampiran dengan kawasan kubur. Apabila buka tingkap, pemandangan batu nisan dan belindan pelbagai bentuk dan saiz boleh dilihat di segenap tempat,” katanya yang mengambil upah membersihkan kawasan berkenaan. – UTUSAN
The post Perkuburan Kampung Banggol terpanjang di Malaysia appeared first on Utusan Malaysia.





