KEJADIAN tragis penemuan tiga beranak yang maut dalam keadaan menyayat hati di Merbok, Sungai Petani bukan sahaja mengejutkan, malah mencetuskan kerisauan mendalam dalam kalangan masyarakat.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, dalam kejadian itu, kepala pasangan suami isteri didapati terpisah manakala anggota badan mangsa wanita dipercayai dipotong untuk dilupuskan.
Mayat anak mereka pula dilaporkan ditemui di tingkat atas rumah dalam keadaan berlumuran darah dengan kesan kelar pada leher.
Ujar Hanyan, mangsa dikenali sebagai pasangan suami isteri, Zikri Abdul Rahman, 65, dan Suraya Man, 53, serta anak lelaki mereka, Muhammad Shakir Zufayri Abdul Aziz, 29.
Lebih membimbangkan, insiden seperti itu berlaku dalam kawasan kejiranan biasa yang sepatutnya menjadi ruang selamat untuk setiap keluarga.
Hakikat bahawa kejadian tersebut hanya disedari selepas beberapa hari, hasil bau busuk yang dihidu penduduk, menimbulkan persoalan besar tentang tahap kepekaan sosial dan keselamatan komuniti hari ini.
Insiden ini seharusnya menjadi titik tolak untuk memperkukuh semula budaya prihatin dalam masyarakat.
Beberapa langkah penting boleh dipertimbangkan termasuk peningkatan sistem keselamatan komuniti.
Antaranya, penubuhan atau pengaktifan semula rukun tetangga, rondaan sukarela dan penggunaan teknologi seperti kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan perumahan boleh membantu meningkatkan pemantauan.
Paling asas, hidupkan semula semangat kejiranan seperti amalan bertanya khabar, mengenali latar belakang jiran dan mengambil tahu keadaan sekeliling. Ia bukan soal menjaga tepi kain orang, tetapi memastikan keselamatan bersama.
Selain itu, kerjasama erat antara penduduk dan polis juga penting. Saluran komunikasi yang jelas dan respons pantas terhadap aduan boleh meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap kawalan keselamatan khususnya di kawasan kejiranan.



