Tiga beranak ditemui mati: Tak sangka mangsa ahli keluarga sendiri

26 Mar 2026 • 5:46 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Keadaan rumah mangsa pembunuhan tiga keluarga di Kampung Balau, Merbok. Foto Bernama
image is not available
Mohd Khairil Afif

SUNGAI PETANI – Anak saudara kepada pasangan suami isteri yang ditemui mati bersama anak lelaki mereka di sebuah rumah di Kampung Belau, Merbok di sini tidak menyangka tragedi itu menimpa ahli keluarganya sendiri.

Menurut Mohd Khairil Afif Abd Manaf, 25, dia yang bekerja di Pulau Pinang pulang ke kampung selepas mengetahui kejadian tragis tersebut.

"Berita kehilangan pak long, mak long dan sepupu dalam kejadian ini mengejutkan.

"Kali terakhir saya bertemu mereka sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri dan keadaan keluarga tersebut dilihat baik seperti biasa," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian pada Khamis.

**media[3472968]**

Menurut Mohd Khairil Afif, sepupunya pula jarang keluar rumah dan lebih banyak menghabiskan masa di dalam bilik.

Katanya, sepupunya juga difahamkan pernah mengalami masalah kemurungan serta tekanan perasaan sebelum ini.

“Dulu dia belajar di tempat lain dan kemudian pulang ke sini. Sudah lama juga dia berada di rumah, tetapi dia tidak pernah mengganggu orang lain,” ujarnya.

Terdahulu, media melaporkan, bau busuk dari sebuah rumah di Kampung Belau membawa kepada penemuan mengejutkan mayat tiga beranak pada awal pagi Khamis.

Mangsa dikenali sebagai pasangan suami isteri, Zikri Abdul Rahman, 65, dan Suraya Man, 53, serta anak lelaki mereka, Muhammad Shakir Zufayri Abdul Aziz, 29.

Kepala pasangan suami isteri itu didapati terpisah manakala anggota badan mangsa wanita dipercayai dipotong untuk dilupuskan.

Mayat anak mereka pula ditemui di tingkat atas rumah dalam keadaan berlumuran darah dengan kesan kelar pada leher.