johardy10/10/2026 - 16:45 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 10 Okt - Pekerja Malaysia bakal mendapat akses lebih luas kepada latihan dan pensijilan profesional untuk meningkatkan kemahiran serta memajukan kerjaya menerusi penggunaan berterusan RM3 bilion dana levi HRD Corp bagi menyokong tiga juta peluang latihan di bawah Belanjawan 2027.
HRD Corp berkata, dana tersebut akan memberi tumpuan kepada pensijilan profesional, peningkatan kemahiran mengikut keperluan industri serta usaha meningkatkan kualiti dan memperluas akses kepada latihan.
Bagi majikan, sumbangan levi mereka akan terus dimanfaatkan untuk memperkukuh keupayaan dan produktiviti tenaga kerja, menurut agensi itu dalam kenyataan pada Sabtu.
Bagi pekerja pula, akses lebih luas kepada latihan yang relevan dengan keperluan industri, pensijilan yang diiktiraf dan pembangunan profesional berterusan (CPD) akan menyokong perkembangan serta kemajuan kerjaya mereka.
Usaha tersebut menyokong peralihan Malaysia kepada ekonomi bernilai tinggi di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), dengan sasaran pekerja mahir merangkumi 35% daripada keseluruhan tenaga kerja menjelang 2030.
Ketua Eksekutif HRD Corp, Dato’ Shamir Aziz berkata, penekanan terhadap pembangunan modal insan dalam Belanjawan 2027 mencerminkan kepentingan memperkukuh kemahiran tenaga kerja negara bagi menghadapi perubahan ekonomi dan keperluan industri.
Dana levi tingkat kemahiran dan kemajuan kerjaya
“HRD Corp akan terus memberi tumpuan kepada latihan yang relevan dengan keperluan industri, pensijilan profesional yang diiktiraf serta penggunaan dana levi secara strategik bagi memastikan pelaburan majikan dalam pembangunan kemahiran memberikan manfaat bermakna kepada pekerja dan perniagaan,” katanya.
Beliau berkata, usaha meningkatkan kemahiran dan menyediakan peluang latihan semula perlu terus diperluas kepada semua lapisan masyarakat bagi membuka lebih banyak peluang pekerjaan serta kemajuan kerjaya.
Belanjawan 2027 turut memperuntukkan RM40 juta kepada HRD Corp bagi inisiatif Kemahiran Penjaga Profesional MADANI untuk memperkukuh ekonomi penjagaan Malaysia menerusi pembangunan tenaga kerja penjagaan yang mahir dan profesional.
Inisiatif tersebut dijangka memanfaatkan sehingga 8,000 peserta, khususnya lepasan sekolah, graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), suri rumah, pencari kerja serta individu menganggur yang berminat menceburi kerjaya dalam sektor penjagaan. Pembiayaan merangkumi kos latihan, elaun kehadiran dan kit latihan.
Latihan akan meliputi penjagaan warga emas, bayi dan kanak-kanak, orang kurang upaya (OKU), penjagaan selepas bersalin serta penjagaan komuniti, bagi membangunkan tenaga kerja mahir dan membuka laluan kerjaya dalam sektor yang semakin berkembang itu.
HRD Corp, agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), akan terus bekerjasama dengan industri, majikan dan ekosistem latihan bagi memastikan pembangunan modal insan memberi manfaat kepada rakyat, memenuhi keperluan industri serta menyokong pertumbuhan ekonomi negara. - DagangNews.com






