
BUKIT MERTAJAM: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan kawasan Parlimen Permatang Pauh sebagai titik awal yang memberikan beliau peluang untuk membina kekuatan politik sehingga berjaya memegang jawatan sebagai Perdana Menteri.
Perdana Menteri berkata, walaupun kini mewakili kawasan Parlimen Tambun, Permatang Pauh tetap mempunyai tempat istimewa dalam perjalanan politiknya kerana kawasan itu merupakan antara asas penting perjuangannya.
“Saya jadi Perdana Menteri ini betullah wakil rakyat Tambun. Tapi yang mula ini di mana? Permatang Pauh. Takkan saya nak lupa. Ini kampung halaman kita,” katanya ketika berucap merasmikan Skim Usahawan Bangkit (Sub) Madani di Yayasan Aman, di sini hari ini.
Menurut beliau, selepas melalui pengalaman politik di Permatang Pauh, beliau kemudiannya bertanding di Port Dickson, Negeri Sembilan sebelum memilih Tambun sebagai kawasan untuk memperkukuhkan lagi perjuangan politiknya.
“Yang mula ini mana? Permatang Pauh. Itu yang saya pergi cuba pula di Negeri Sembilan, Port Dickson, menang Port Dickson. Cuba pula di Tambun. Saya nak bagi kekuatan kita. Tetapi mulanya di mana? Di sini (Permatang Pauh),” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, usaha memperkukuh penghayatan Islam perlu bermula dengan asas, termasuk memastikan umat Islam mampu membaca al-Quran dengan baik serta memahami prinsip yang terkandung di dalamnya.
Katanya, kemajuan ekonomi dan pembangunan negara semata-mata tidak memadai sekiranya aspek agama dan akhlak tidak diberikan perhatian sewajarnya.
Justeru, beliau berkata, walaupun pelbagai program berkaitan Islam dilaksanakan, usaha memperkukuh asas pengajian al-Quran dalam kalangan masyarakat perlu dipertingkatkan.
Anwar berkata, pendekatan membawa guru agama yang berkelayakan dan mempunyai ilmu untuk mengajar al-Quran dari rumah ke rumah merupakan satu inisiatif yang baik dan wajar diperluaskan.
“Saya tengok ustaz-ustaz ini layak, ada kelayakan, ada ilmu, dia turun pergi rumah ke rumah. Jadi, saya ingat program ini sangat baik. Sebab itu saya bagi sokongan penuh. Saya juga dah bincang dengan Fadhlina (Menteri Pendidikan), kita nak sebarkan perkara ini di semua negara supaya orang Islam ini dia boleh baca Quran dengan baik,” katanya. – UTUSAN
The post Permatang Pauh titik awal perjuangan politik saya – Anwar appeared first on Utusan Malaysia.






