Permintaan elektrik Semenanjung Malaysia diunjur lebih 2 kali ganda kepada 49.8GW menjelang 2050, kata Petra

LocalBusiness & Finance
27 Nov 2026 • 10:10 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Permintaan elektrik Semenanjung Malaysia diunjur lebih 2 kali ganda kepada 49.8GW menjelang 2050, kata Petra Image from: Permintaan elektrik Semenanjung Malaysia diunjur lebih 2 kali ganda kepada 49.8GW menjelang 2050, kata Petra amree27/11/2026 - 10:10 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 27 Nov — Permintaan elektrik di Semenanjung Malaysia diunjur meningkat lebih dua kali ganda kepada 49.8 gigawatt (GW) menjelang 2050 berbanding 22.6GW pada 2027, didorong perkembangan pesat pusat data (DC), kecerdasan buatan (AI) dan kenderaan elektrik (EV).

 

Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) berkata, unjuran tersebut berdasarkan kepada perancangan Jawatankuasa Perancangan dan Pelaksanaan Pembekalan dan Tarif Elektrik (JPPPET), dengan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) sekitar 3.5%.

 

Menurut kementerian berkenaan, permintaan elektrik daripada sektor DC sahaja dijangka meningkat lebih ketara daripada hanya kira-kira 11% berbanding keseluruhan permintaan elektrik di Semenanjung Malaysia pada 2027 kepada sebanyak 21% menjelang 2050.

 

"Selain DC dan AI, peningkatan permintaan turut mengambil kira pertumbuhan penggunaan EV serta perkembangan industri berintensif tenaga yang memerlukan bekalan elektrik stabil dan berterusan," jelas Petra dalam jawapan bertulis di laman web Parlimen pada Khamis.

 

Ia bagi menjawab pertanyaan yang dikemukakan oleh Datuk Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim (PN-Kuala Terengganu) mengenai unjuran permintaan elektrik negara, peranan tenaga nuklear dan campuran penjanaan sehingga 2050.

 

Dalam pada itu ujar Petra, tenaga nuklear dikenal pasti sebagai antara pilihan strategik untuk menggantikan arang batu sebagai sumber penjanaan elektrik beban asas, di samping gas, selaras dengan sasaran mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.

 

TNB_DagangNews2026
Gambar hiasan

 

Tambahnya, senario awal JPPPET mengunjurkan tenaga nuklear berpotensi mula memasuki campuran penjanaan elektrik negara secara berperingkat pada 2040, dengan kapasiti sekitar 2.0GW atau kira-kira 2% daripada campuran penjanaan sehingga 2050.

 

"Bagaimanapun, keperluan kapasiti sebenar serta perincian sumbangan tenaga nuklear masih tertakluk kepada kajian kebolehlaksanaan menyeluruh yang diketuai MyPOWER selaku Organisasi Pelaksana Program Tenaga Nuklear (NEPIO)," tambah kementerian berkenaan.

 

Dalam jawapan berasingan, Petra memaklumkan Terengganu merekodkan 11 projek solar berskala besar (LSS) berkapasiti 874 megawatt (MW), diikuti Kelantan dengan sembilan projek (533MW) dan Perlis lima projek (124MW), melibatkan keseluruhan 25 projek berkapasiti 1,531MW.

 

Jumlah itu bersamaan 25.4% daripada keseluruhan kapasiti projek LSS sebanyak 6,028MW bagi pelaksanaan LSS 1 hingga LSS 5+. Di bawah Skim Pembekalan Tenaga Boleh Diperbaharui Korporat (CRESS), prinsip pelaksanaan adalah berdasarkan persetujuan antara pembeli dan penjual, dengan penggunaan grid tertakluk caj akses sistem yang bersesuaian.

 

Petra menegaskan pemaju tenaga boleh diperbaharui (RE) boleh membina ladang solar di mana-mana tanpa ditetapkan lokasi khusus oleh kerajaan, manakala caj penggunaan grid bertujuan memastikan kos tambahan sistem tidak dipindahkan secara tidak adil kepada pengguna elektrik lain.

 

Penjelasan kementerian tersebut sebagai menjawab pertanyaan oleh Datuk Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) mengenai usaha memastikan manfaat pelaburan RE turut dinikmati Kelantan, Terengganu dan Perlis. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved