Nilai rampasan AKPS naik lebih 4 kali ganda kepada RM323 juta setakat 31 Oktober 2026 - Saifuddin

LocalPolitics
26 Nov 2026 • 10:00 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Nilai rampasan AKPS naik lebih 4 kali ganda kepada RM323 juta setakat 31 Oktober 2026 - Saifuddin Image from: Nilai rampasan AKPS naik lebih 4 kali ganda kepada RM323 juta setakat 31 Oktober 2026 - Saifuddin amree26/11/2026 - 10:00 Gambar hiasan - Foto BERNAMA Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 26 Nov — Nilai rampasan oleh Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) melonjak lebih empat kali ganda kepada RM322.74 juta setakat 31 Oktober 2026 berbanding RM82.10 juta pada tahun pertama pengoperasiannya pada 2025, membabitkan 16,357 kes penguatkuasaan.

 

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pencapaian itu mencerminkan peningkatan keupayaan kawalan dan pemeriksaan bersepadu agensi berkenaan dalam membanteras aktiviti penyeludupan serta melindungi keselamatan dan hasil negara.

 

Jelas beliau, kejayaan penguatkuasaan tersebut turut disumbangkan menerusi sektor biosekuriti yang merekodkan nilai rampasan berjumlah RM72.05 juta, manakala sektor kastam dan percukaian pula berjaya menyumbang sebanyak RM50.84 juta.

 

​"Keseluruhan pencapaian ini membuktikan penubuhan AKPS bukan sekadar satu penstrukturan semula pentadbiran, malah reformasi institusi yang berimpak tinggi dalam memperkukuh keselamatan sempadan, memudah cara perdagangan serta pelancongan dan melindungi hasil negara," katanya.

 

Saifuddin berkata demikian dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat bagi menjawab pertanyaan Rodziah Ismail (PH-Ampang) mengenai keberkesanan AKPS sejak penubuhannya, termasuk aspek tadbir urus, penyelarasan agensi dan kecekapan operasi.

 

Dalam perkembangan berkaitan, operasi Task Force Saringan 100 Peratus di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari 10 Ogos hingga 13 November 2026 berjaya menumpaskan 16 kes penyeludupan dadah bernilai RM34.89 juta dengan berat keseluruhan 436.66 kilogram.

 

Saifuddin Nasution Ismail_Bernama
Gambar BERNAMA

 

Operasi bersepadu bersama beberapa agensi penguatkuasaan itu melibatkan pemeriksaan 4,569 penerbangan, 21,526 kru penerbangan, 483,119 pemeriksaan badan penumpang serta 711,160 bagasi daftar masuk, selain mengesan 16 barangan larangan.

 

"AKPS ditubuhkan susulan keputusan Kabinet pada 3 Januari 2024 dan diperuntukkan secara perundangan melalui Akta AKPS Malaysia 2024 (Akta 860) berkuat kuasa pada 1 Januari 2025. Ia kini menyelia 123 pintu masuk aktif meliputi laluan darat, udara dan laut di seluruh negara," kata Saifuddin.

 

Dari aspek tadbir urus, AKPS berjaya menyatukan fungsi pemeriksaan dan penguatkuasaan enam agensi teras iaitu Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), MAQIS, Kementerian Kesihatan, Jabatan Pengangkutan Jalan dan Perhilitan di bawah satu rantaian perintah tunggal.

 

Selain itu, pelaksanaan Skim Perkhidmatan Kawalan dan Perlindungan Sempadan pada 1 Julai 2026 melengkapkan proses penyepaduan berkenaan, manakala pengambilan sulung 408 pegawai baharu dibuat bagi penempatan di pintu masuk projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link di Bukit Chagar, Johor Bahru.

 

Dalam aspek integriti, seramai 27 pegawai dikenakan tindakan sehingga November 2026 berhubung pelanggaran integriti yang melibatkan sindiket 'counter setting' dan 'flying passport', dengan 19 pegawai dibuang kerja manakala lapan dikenakan tindakan tahan kerja susulan pertuduhan di mahkamah.

 

"Kerajaan akan terus memperkukuh keupayaan sumber manusia, prasarana teknologi dan tadbir urus AKPS bagi memastikan keselamatan pintu masuk negara terpelihara, selain meningkatkan kecekapan pergerakan perdagangan dan pelancongan antarabangsa," tegasnya. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved