amree19/11/2026 - 10:10 Gambar hiasan Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 19 Nov — Pembangunan pesat pusat data (DC) di Malaysia dijangka meningkatkan permintaan tenaga elektrik, namun kerajaan mengunjurkan margin rizab bekalan elektrik negara kekal antara 24% hingga 27% bagi tempoh dari 2027 hingga 2035.
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, unjuran tersebut berdasarkan rumusan oleh Mesyuarat Jawatankuasa Perancangan dan Pelaksanaan Pembekalan Elektrik dan Tarif (JPPPET) pada 11 November 2026.
Beliau menambah, kerajaan komited memastikan bekalan elektrik kekal stabil dan mencukupi bagi menyokong pembangunan pusat data, selain mengenal pasti langkah pengurusan permintaan tenaga bagi pengguna berintensiti tinggi termasuk pengendali DC.
"Kadar caj beban bersambung (CLC) turut diselaraskan bagi mengawal tempahan kapasiti elektrik secara berlebihan, dan mengelakkan kos pembangunan DC dipindahkan kepada pengguna domestik," katanya menggulung Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2027 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat pada Rabu.
Selain itu ujar Abdul Rahman, struktur tarif voltan ultra tinggi (UHV) yang berkuat kuasa sejak 1 Julai 2025 turut dikenakan terhadap mana-mana pengendali DC yang didapati sudah menggunakan bekalan elektrik di premis pada tahap voltan melebihi 50 kilovolt.
Mengulas mengenai isu penggunaan air pula, beliau berkata, permintaan air sektor DC di Selangor, Johor dan Negeri Sembilan diunjurkan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) bakal mencecah sebanyak 445.04 juta liter sehari menjelang 2030.

Bagaimanapun jelas beliau, bagi mengurangkan kebergantungan tinggi kepada air terawat, sebanyak 19.5 juta liter sehari air kitar semula kini dibekalkan daripada empat loji rawatan kumbahan di Selangor dan Johor untuk kegunaan sektor berkenaan.
"Malah, berdasarkan kepada garis panduan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), DC memang diwajibkan menyediakan rizab bekalan air sendiri sekurang-kurangnya selama dua hari serta mengutamakan sumber air alternatif," tegas Abdul Rahman.
Pengendali DC juga kata beliau, perlu menanggung kos bagi sebarang kerja penaiktarafan segala infrastruktur yang diperlukan DC masing-masing, manakala keutamaan bekalan air kepada pengguna domestik sedia ada akan terus dipelihara oleh kerajaan.
Dalam pada itu, PETRA mengambil maklum cadangan Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin supaya laporan JPPPET dapat didedahkan kepada pengetahuan umum bagi meningkatkan lagi tahap ketelusan perancangan bekalan elektrik negara dalam jangka panjang.
Dewan Rakyat kemudian meluluskan anggaran perbelanjaan mengurus dan pembangunan kementerian tersebut yang berjumlah RM5.33 bilion bagi 2027 selepas dibahaskan 32 Ahli Parlimen. - DagangNews.com





