Projek solar, jualan elektrik naikkan keuntungan NuEnergy lebih tiga kali ganda pada 9MFY26

LocalBusiness & Finance
18 Nov 2026 • 3:54 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Projek solar, jualan elektrik naikkan keuntungan NuEnergy lebih tiga kali ganda pada 9MFY26 Image from: Projek solar, jualan elektrik naikkan keuntungan NuEnergy lebih tiga kali ganda pada 9MFY26 liza18/11/2026 - 15:54 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 18 Nov – NuEnergy Holdings Berhad mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 824% kepada RM233.67 juta bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2026 (9MFY26) berbanding RM25.28 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Peningkatan itu didorong kemajuan pelaksanaan projek solar berskala besar yang diperoleh kumpulan, selain sumbangan lebih tinggi daripada penjualan elektrik yang dijana menerusi aset perjanjian bekalan tenaga boleh baharu (SARE) yang diperoleh secara berperingkat sepanjang tahun lalu.

 

Seiring pertumbuhan hasil, keuntungan selepas cukai (PAT) kumpulan meningkat kepada RM12.64 juta berbanding RM3.8 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Keuntungan kasar turut meningkat 318.7% kepada RM32.07 juta daripada RM7.66 juta, mencerminkan sumbangan lebih tinggi daripada aktiviti perniagaan kumpulan sepanjang tempoh berkenaan.

 

Beralih daripada kerugian kepada keuntungan pada suku ketiga

Bagi suku ketiga berakhir 30 September 2026 (Q3FY26), NuEnergy merekodkan PAT sebanyak RM3.21 juta berbanding kerugian selepas cukai RM1.01 juta pada suku sama tahun sebelumnya.

 

Hasil suku ketiga meningkat 301.8% kepada RM56.31 juta berbanding RM14.01 juta sebelumnya manakala keuntungan kasar berkembang 163.2% kepada RM9.71 juta daripada RM3.69 juta.

 

Menurut kumpulan, peningkatan prestasi suku tahunan itu turut disokong kemajuan projek solar utama serta peningkatan sumbangan daripada penjualan elektrik yang dijana aset SARE.

 

Perluas perniagaan kepada infrastruktur kuasa

Mengulas prospek, NuEnergy berkata, sektor tenaga boleh baharu Malaysia terus mempunyai prospek positif, disokong komitmen kerajaan untuk mempercepatkan peralihan tenaga negara.

 

Langkah yang diumumkan menerusi Belanjawan 2027, termasuk pelaburan dalam infrastruktur grid nasional serta pelanjutan dan penambahbaikan insentif cukai teknologi hijau, dijangka menggalakkan lebih banyak pelaburan dalam tenaga boleh baharu dan infrastruktur kuasa berkaitan.

 

Sehubungan itu, kumpulan akan terus memanfaatkan keupayaan sedia ada dalam kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) solar, selain mengembangkan perniagaan kepada penyelesaian infrastruktur kuasa voltan ultra tinggi (EHV).

 

NuEnergy turut meneroka peluang untuk memperbesar portfolio aset tenaga boleh baharu miliknya bagi meningkatkan sumbangan pendapatan berulang dengan memberi tumpuan kepada pelaksanaan projek secara berdisiplin, pengurusan kos berhemat dan peruntukan modal yang teliti.

 

Dalam perkembangan berasingan, kumpulan pada 9 Oktober 2026 menerima surat anugerah daripada KAB Energy Holdings Sdn Bhd bagi kerja mereka bentuk, membina, memasang, menguji dan mentauliahkan kemudahan sambungan Sabah Electricity Sdn Bhd untuk Projek Loji Janakuasa Labuan berkapasiti 120 megawatt (MW) serta kemudahan berkaitan milik Rancha Power Sdn Bhd.

 

Kontrak yang terletak di Wilayah Persekutuan Labuan itu bernilai RM10.1 juta. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved