Permintaan industri, pusat data pacu prospek Gas Malaysia pada baki 2026 - Penganalisis

LocalBusiness & Finance
20 Aug 2026 • 11:06 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Permintaan industri, pusat data pacu prospek Gas Malaysia pada baki 2026 - Penganalisis Image from: Permintaan industri, pusat data pacu prospek Gas Malaysia pada baki 2026 - Penganalisis hamden20/08/2026 - 11:06 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 20 Ogos - Prospek Gas Malaysia Bhd (GMB) dijangka bertambah baik pada baki 2026, disokong permintaan gas asli yang kekal kukuh susulan pertumbuhan aktiviti perindustrian dan perkembangan pesat pusat data di negara ini, menurut penganalisis pasaran.

 

MBSB Research berkata, momentum permintaan dijangka terus menyokong volum jualan GMB pada separuh kedua 2026 (2H26), dengan pertumbuhan ekonomi domestik dan pelaburan dalam teknologi termaju menjadi antara pemangkin utama penggunaan gas asli sektor industri dan komersial.

 

"Ekonomi Malaysia dijangka berkembang sekitar 4%-5% pada 2026. Peningkatan aktiviti perindustrian serta pengembangan pusat data akan menyokong jualan volum yang stabil melalui rangkaian pengedaran GMB,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Firma itu bagaimanapun mengekalkan saranan NEUTRAL terhadap GMB dengan sasaran harga tidak berubah pada RM5.54, selepas prestasi pendapatan kumpulan bagi enam bulan pertama tahun kewangan 2026 (6MFY26) sedikit di bawah jangkaan.

 

GMB mencatatkan pendapatan teras RM165 juta bagi 6MFY26, susut 17% berbanding tempoh sama tahun lalu, manakala hasil turun 13% kepada RM3.2 bilion, sejajar dengan purata harga jualan gas asli yang lebih rendah. Kesan tersebut bagaimanapun sebahagiannya diimbangi peningkatan jumlah jualan gas asli.

 

Menurut MBSB Research, walaupun harga jualan gas asli yang lebih rendah terus memberi tekanan kepada margin sumbangan, pertumbuhan volum jualan dijangka menjadi faktor penting dalam menyokong prestasi GMB pada baki tahun ini.

 

Perkara itu selari dengan prestasi suku pertama 2026 apabila penurunan keuntungan bersih GMB sebahagiannya diimbangi oleh jumlah jualan gas asli yang lebih tinggi. 

 

Pada 1QFY26, keuntungan bersih GMB turun 7.3% kepada RM92.84 juta, manakala hasil susut 13.7% kepada RM1.59 bilion.

 

MRP dijangka sokong prestasi 2H26

Sementara itu CGS International (CGSI) menjangkakan pengukuhan Harga Rujukan Malaysia (MRP) mampu menyokong prestasi 2H26 GMB.

 

"MRP telah mengukuh kepada RM36/mmBtu pada 3Q26F, meningkat 8% qoq, dan kami menjangkakan peningkatan lanjut kepada kira-kira RM49/mmBtu pada 4Q26F.

 

"Ini sepatutnya menyokong pendapatan 2H26F yang lebih kukuh bagi perniagaan bukan terkawal GMB yang berkaitan dengan MRP, dengan andaian faktor lain kekal sama," katanya.

 

CGSI mengekalkan penarafan PEGANG ke atas GMB dengan harga sasaran berasaskan jumlah bahagian (SOP) sebanyak RM5.50, disokong oleh hasil dividen yang munasabah sekitar 4-5% bagi FY26F-FY28F, selain penjanaan aliran tunai bebas (FCF) yang kukuh.

 


Peluang baharu sokong pertumbuhan jangka sederhana

Sementara itu MBSB Research melihat perkembangan perniagaan baharu GMB di bawah Program Transformasi GM32 sebagai pemangkin kepada pertumbuhan jangka sederhana.

 

GMB sedang menilai peluang dalam segmen tenaga baharu, termasuk tenaga lebih bersih, suntikan biometana dan bahan termaju. 

 

"Walaupun inisiatif berkenaan berpotensi meningkatkan perbelanjaan modal dan operasi dalam tempoh terdekat, ia boleh membuka aliran hasil baharu untuk kumpulan," katanya. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved