Phillip Capital potong unjuran pendapatan SkyWorld sehingga 3% bagi FY26-FY27

18 Apr 2025 • 12:47 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Phillip Capital potong unjuran pendapatan SkyWorld sehingga 3% bagi FY26-FY27

image is not available

18/04/2025 - 12:47

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 18 April - Phillip Capital menyemak turun unjuran pendapatan Skyworld Development Bhd antara 2% hingga 3% bagi FY26-FY27 selepas mengambil kira kos faedah yang meningkat daripada pembelian tanah seluas 1.22 hektar di Mont Kiara, Kuala Lumpur pada harga RM110 juta.

Katanya, kumpulan itu akan mula menjana hasil daripada tanah itu bermula FY28.

Firma penyelidikan itu berkata, walaupun positif terhadap prospek pengambilalihan itu, pihaknya mengambil kira diskaun anggaran nilai aset bersih (RNAV) yang lebih tinggi sebanyak 40% bagi mencerminkan ketidaktentuan yang semakin meningkat dan ia boleh menjejaskan permintaan hartanah.

"Risiko utama kepada perkara itu termasuk jualan hartanah lebih rendah daripada jangkaan dan harga bahan binaan lebih tinggi," katanya dalam satu nota kajian.

Terdahulu, Skyworld menerusi Rimba Maju Realiti merancang untuk melaksanakan pembangunan kediaman mewah di atas tanah itu, menawarkan persekitaran tempat tinggal yang eksklusif dengan kemudahan moden.

Tanah itu secara strategik di sepanjang Jalan Kiara, kira-kira 200 meter dari Sekolah Antarabangsa Mont Kiara selain berdekatan 1 Mont Kiara Mall, Solaris Mont Kiara dan pusat beli-belah Publika.

Firma penyelidikan itu berkata, pemaju hartanah itu telah bercadang mengambil alih tanah itu yang mempunyai potensi nilai pembangunan kasar (GDV) antara RM800 juta dan RM900 juta.

Harga RM110 juta itu diterjemahkan kepada kos tanah kepada GDV sebanyak 12% hingga 13%, selaras dengan julat 11% hingga 15% untuk projek Lembah Klang SkyWorld yang lalu, kata Phillip Capital.

Dengan mengandaikan struktur pembiayaan hutang kepada ekuiti 80:20, firma penyelidikan itu menjangkakan penggearan bersih SkyWorld meningkat kepada 0.3 kali, daripada 0.15 kali menjelang suku ketiga tahun ini.

"Kami mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran (TP) lebih rendah 84 sen sesaham," katanya.- DagangNews.com

standard