sarah19/10/2026 - 10:40 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 19 Okt - Peningkatan permintaan elektrik daripada industri pusat data di Malaysia dilihat menjadi antara faktor yang mengehadkan perkembangan eksport tenaga boleh baharu (TBB) ke Singapura, meskipun negara mempunyai inisiatif perdagangan elektrik hijau rentas sempadan.
AmInvestment Bank berkata, perkembangan eksport TBB dilihat masih terhad sejak perjanjian eksport 50 megawatt (MW) tenaga hijau kepada Sembcorp Power dimeterai pada Disember 2024, berikutan peningkatan permintaan elektrik domestik yang didorong pembangunan pusat data.
Menurut firma penyelidikan itu, platform Enegem yang ditubuhkan pada 2024 bertujuan memudahkan penjualan tenaga boleh baharu Malaysia ke Singapura dengan kuota sebanyak 300MW, sekali gus membuka peluang perdagangan tenaga rentas sempadan.
Bagaimanapun, peningkatan keperluan tenaga dalam negara turut menonjolkan cabaran utama peralihan tenaga, iaitu memastikan bekalan elektrik kekal mencukupi, mampu milik dan mampan ketika permintaan terus berkembang.

Solar kuasai separuh kapasiti tenaga boleh baharu
AmInvestment Bank berkata, tenaga solar mendominasi kapasiti terpasang TBB Malaysia dengan sumbangan 50% pada akhir 2025, diikuti hidro berskala besar sebanyak 40%, biojisim (6%), hidro kecil (3%) dan biogas (1%). Secara keseluruhan, TBB menyumbang 32% kepada kapasiti penjanaan elektrik terpasang negara.
Firma itu turut mengenal pasti potensi pembangunan hidro aliran sungai di kira-kira 80 sungai di Semenanjung Malaysia dengan anggaran kapasiti penjanaan 150MW, namun sumber alternatif seperti tenaga angin dan biogas masih berdepan kekangan kos, keadaan geografi serta potensi pengembangan.
Dalam pada itu, tenaga nuklear yang turut dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dilihat berpotensi menyediakan bekalan elektrik asas yang stabil dan rendah karbon, tetapi kos pembinaan, pengurusan sisa radioaktif serta penerimaan masyarakat kekal sebagai cabaran utama.
AmInvestment Bank mengekalkan pandangan 'NEUTRAL' terhadap sektor peralihan tenaga dan menegaskan bahawa peralihan yang tidak diurus dengan baik boleh menyebabkan kekangan grid, menjejaskan kebolehpercayaan bekalan elektrik atau meningkatkan kos tenaga kepada pengguna dan perniagaan.- DagangNews.com





