PUTATAN - Kerajaan Madani mengekalkan subsidi diesel di Sabah dan Sarawak memandangkan kedua-dua wilayah itu bergantung kepada pengangkutan laut dan darat untuk bekalan makanan serta barangan keperluan harian rakyat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata, langkah itu penting bagi memastikan kos pengangkutan dan logistik tidak meningkat secara mendadak yang boleh memberi kesan kepada harga barangan di kedua-dua wilayah berkenaan.
Menurutnya, dunia ketika ini berdepan ketidaktentuan geopolitik susulan ketegangan melibatkan Iran di Asia Barat yang turut memberi kesan kepada pasaran tenaga global.
“Konflik di rantau tersebut lazimnya menyebabkan harga minyak dunia melonjak dan kesannya turut dirasai oleh negara-negara lain termasuk Malaysia.
"Sebagai negara pengeluar minyak melalui Petroliam Nasional Bhd (Petronas), Malaysia mungkin mendapat manfaat daripada kenaikan harga minyak, namun pada masa sama peningkatan kos dalam rantaian tenaga serta beban subsidi bahan api juga boleh meningkat dan memberi tekanan kepada ekonomi negara," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Santai dan Sungkai Media Sabah di sini pada Sabtu.
Ahli Parlimen Sepanggar itu berkata, kerajaan bagaimanapun terus berusaha melindungi rakyat daripada kesan ketidaktentuan ekonomi global melalui pelaksanaan pelbagai langkah termasuk mengekalkan harga petrol RON95 pada kadar RM1.99 seliter.
"Kerajaan Madani mengekalkan harga petrol RON95 pada RM1.99 seliter melalui pendekatan subsidi bersasar BUDI Madani walaupun harga pasaran sebenar tanpa subsidi dianggarkan sekitar RM2.67 seliter.
"Hakikatnya, kerajaan kini menanggung kira-kira RM3.2 bilion setiap bulan bagi subsidi petrol dan diesel, iaitu sekitar RM2 bilion untuk RON95 dan RM1.2 bilion bagi diesel. Ini membuktikan komitmen besar kerajaan dalam melindungi rakyat daripada kejutan ekonomi global," ujarnya.
Dalam pada itu, Mustapha berkata, Malaysia juga masih antara negara dengan harga petrol paling rendah di rantau ASEAN berbanding beberapa negara jiran.
Katanya, harga petrol di Thailand boleh mencecah sekitar RM4 seliter, di Indonesia antara RM3 hingga RM3.50 seliter, manakala di Singapura boleh melebihi RM8 hingga RM10 seliter.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan rakyat agar memahami realiti ekonomi semasa serta menggunakan subsidi yang diberikan secara berhemah.
"Dalam keadaan dunia yang tidak menentu, kita perlu kekal tenang, tidak terpengaruh dengan spekulasi dan terus bersatu sebagai rakyat Malaysia.
"Kerajaan Madani akan terus mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan kestabilan ekonomi negara serta melindungi kebajikan rakyat, namun menghadapi cabaran global hari ini memerlukan kerajaan dan rakyat bergerak sebagai satu pasukan dalam sebuah negara Malaysia yang berdaulat," katanya.

