Pernah dua kali jalani IUI, Elizabeth Tan kini teruskan ikhtiar menerusi IVF – ‘Korang doakan I okay?’

Family & ParentingLifestyle
2 Sep 2026 • 9:05 AM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

Image from: Pernah dua kali jalani IUI, Elizabeth Tan kini teruskan ikhtiar menerusi IVF – ‘Korang doakan I okay?’

MENANTI kehadiran cahaya mata bukan perjalanan yang sama buat setiap pasangan. Ada yang dikurniakan rezeki dalam tempoh singkat, namun ada juga terpaksa melalui pelbagai ikhtiar sebelum impian bergelar ibu dan ayah menjadi kenyataan.

Begitu juga kisah pelakon dan penyanyi, Elizabeth Tan yang kini memilih untuk meneruskan langkah dalam perjalanan mendapatkan zuriat selepas tiga tahun mencuba.

Lebih dikenali sebagai Lizzy, wanita berusia 33 tahun itu baru-baru ini berkongsi perkembangan terkini, termasuk pertemuannya dengan perunding obstetrik dan ginekologi merangkap pakar kesuburan, Dr Navdeep Singh.

Menerusi video yang dikongsikan di Instagram miliknya, Elizabeth kelihatan ceria ketika mendapatkan pandangan pakar mengenai langkah seterusnya.

Namun di sebalik senyuman itu, pelakon berkenaan mengakui dirinya tetap berdebar untuk melalui fasa baharu berkenaan.

“Korang doakan I okay?” tulisnya ringkas.

Tidak berselindung mengenai perasaannya, pemilik nama sebenar, Elizabeth Tan Su Mei mengakui keputusan untuk meneruskan rawatan kesuburan selepas tiga tahun mencuba bukan sesuatu yang dilalui dengan hati yang tenang.

“Tak payah tanyalah berdebar ke tidak? Memang berdebar. Sudah tiga tahun, tiba masanya untuk bekukan telur-telur saya,"kongsinya lagi.

Image from: Pernah dua kali jalani IUI, Elizabeth Tan kini teruskan ikhtiar menerusi IVF – ‘Korang doakan I okay?’

Dua kali cuba IUI

Bagi Elizabeth dan suami, Dr Siew Jim Ding, langkah tersebut bukanlah percubaan pertama mereka dalam usaha mendapatkan zuriat.

Sebelum ini, pasangan berkenaan pernah menjalani rawatan intrauterine insemination (IUI) sebanyak dua kali.

Bagaimanapun, ikhtiar tersebut masih belum membawa kepada berita yang dinantikan.

Daripada terus berputus asa, pasangan itu memilih untuk mencuba pendekatan lain menerusi rawatan persenyawaan in-vitro (IVF).

Bagi pelakon filem Misteri Dilaila itu, perjalanan tersebut pastinya hadir bersama pelbagai emosi — daripada rasa teruja, berharap sehinggalah debaran berdepan proses rawatan yang baharu.

Perkara itu turut dapat dilihat menerusi perkongsian ringkasnya yang memilih untuk meminta doa daripada orang ramai sebelum meneruskan fasa seterusnya.

Sokongan jadi penguat semangat

Menariknya, perkongsian pelantun lagu Knock Knock itu bukan sahaja menerima perhatian pengikut, malah turut dihujani kata-kata semangat daripada rakan selebriti dan netizen.

Ada yang menitipkan doa agar perjalanan IVF pasangan tersebut dipermudahkan, manakala sebahagian yang lain berkongsi pengalaman sendiri melalui rawatan kesuburan.

Ada juga yang mengingatkan Elizabeth supaya menjaga diri dan tidak terlalu memberi tekanan kepada emosi sepanjang melalui proses berkenaan.

Sokongan sebegitu mungkin kelihatan sederhana, namun buat pasangan yang sedang melalui perjalanan mendapatkan zuriat, setiap doa dan kata-kata positif pastinya cukup bermakna.

Apatah lagi, pengalaman mendapatkan zuriat bukan sekadar melibatkan persediaan fizikal, tetapi turut menguji kekuatan emosi pasangan.

Dalam hal ini, Elizabeth memilih untuk berkongsi sebahagian kecil perjalanannya dengan pengikut, sekali gus membuka ruang kepada lebih ramai untuk memahami bahawa setiap pasangan mempunyai cerita dan tempoh perjalanan yang berbeza.

Untuk rekod, Elizabeth dan Dr Siew Jim Ding mendirikan rumah tangga pada 2021 menerusi sebuah majlis perkahwinan tertutup.

Kini, selepas tiga tahun mencuba, pasangan itu sekali lagi menaruh harapan pada ikhtiar yang dipilih.

Semoga perjalanan Elizabeth dan suami dipermudahkan serta impian mereka untuk menimang cahaya mata akhirnya menjadi kenyataan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved