Perniagaan baharu berkaitan AI mula beri sumbangan kepada keuntungan SkyeChip pada 2027, kata HLIB

TechnologyBusiness & Finance
24 Sep 2026 • 12:33 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Perniagaan baharu berkaitan AI mula beri sumbangan kepada keuntungan SkyeChip pada 2027, kata HLIB Image from: Perniagaan baharu berkaitan AI mula beri sumbangan kepada keuntungan SkyeChip pada 2027, kata HLIB liza24/09/2026 - 12:33 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 24 Sept – SkyeChip Bhd memerlukan tempoh antara satu hingga dua tahun sebelum inisiatif pertumbuhan baharunya mula memberi sumbangan lebih ketara kepada prestasi kewangan, menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB).

 

Firma penyelidikan itu berkata syarikat reka bentuk litar bersepadu (IC) Malaysia berkenaan kini berada dalam fasa memperluas keupayaan teknikal bagi merebut peluang daripada permintaan cip kecerdasan buatan (AI) dan pengkomputeran berprestasi tinggi (HPC) yang semakin meningkat.

 

HLIB menjangka 2026 menjadi tahun peluasan keupayaan bagi SkyeChip, dengan kemajuan lebih ketara terhadap sasaran pengurusan untuk mencatat pertumbuhan hasil tahunan sebanyak 30% dan margin keuntungan bersih 30% dijangka muncul pada 2027 dan 2028.

 

Sejak disenaraikan pada Mei 2026, SkyeChip telah meningkatkan kedudukan kewangan dan profil korporatnya, sekali gus memberi ruang kepada pengurusan untuk mendapatkan pelanggan baharu, membangunkan harta intelek (IP) serta mengambil tenaga kejuruteraan berkemahiran khusus.

 

Namun, HLIB berkata saham SkyeChip kini diniagakan pada kira-kira 64 kali anggaran keuntungan bagi pertengahan tahun kalendar 2028, menunjukkan jangkaan pertumbuhan yang tinggi telah pun tercermin dalam penilaian saham.

 

HLIB mengekalkan unjuran pendapatan dan sasaran harga SkyeChip pada RM2.85 berdasarkan 61 kali anggaran keuntungan bagi pertengahan tahun kalendar 2028.

 

HBM4 buka ruang baharu untuk SkyeChip

HLIB mengenal pasti peralihan kepada cip memori jalur lebar tinggi generasi keempat (HBM4) sebagai antara peluang pertumbuhan berpotensi untuk SkyeChip.

 

HLIB berkata teknologi HBM4 yang lebih maju membolehkan pengeluar cip menambah fungsi pemprosesan data selain pengurusan memori yang membuka lebih banyak peluang untuk reka bentuk cip khusus.

 

“Perkembangan itu selari dengan rancangan SkyeChip membangunkan cip silikon pengkomputeran dalam memori yang boleh meningkatkan kecekapan pemprosesan data bagi aplikasi AI.

 

“SkyeChip turut meneroka peluang memperluas portfolio IP kepada teknologi penghantar-penerima bersiri (SerDes), yang membolehkan komunikasi berkelajuan tinggi antara cip,” katanya.

 

Bagaimanapun, HLIB berkata pembangunan keupayaan SerDes memerlukan kepakaran kejuruteraan isyarat campuran yang khusus serta pelaburan besar dalam tenaga kerja, manakala cadangan penubuhan pusat penyelidikan dan pembangunan di Taiwan boleh membantu SkyeChip mendapatkan lebih ramai jurutera semikonduktor berpengalaman.

 

Program Arm memerlukan pelaburan sehingga AS$200 juta

Bagi program Subsistem Pengkomputeran Arm (CSS), HLIB menjangka SkyeChip mengambil pendekatan berhati-hati sebelum membuat komitmen terhadap inisiatif yang disokong kerajaan itu.

 

Walaupun kos lesen disubsidi sekitar AS$35 juta hingga AS$40 juta, SkyeChip bersama rakan kongsi berpotensi masih perlu melabur antara AS$100 juta hingga AS$200 juta sebelum mencapai peringkat akhir untuk memuktamadkan reka bentuk cip pembuatan.

 

Menurut HLIB, subsidi lesen itu juga perlu dibayar balik sekiranya program berkenaan tidak berjaya.

 

HLIB menjangka perjanjian CSS berpotensi ditandatangani pada 2027, selepas pengurusan memberi keutamaan kepada usaha mendapatkan pelanggan berpotensi sebelum membuat komitmen modal yang besar.

 

Dengan tempoh pembangunan yang boleh mengambil sekurang-kurangnya tiga tahun sebelum mencapai peringkat akhir reka bentuk cip itu, HLIB tidak memasukkan potensi sumbangan daripada program tersebut dalam unjuran pendapatan semasa.

 

Dalam pada itu, SkyeChip mempercepatkan pengambilan tenaga kerja bagi menyokong rancangan pertumbuhannya, dengan jumlah pekerja teknikal meningkat kepada 416 orang di Malaysia dan Vietnam pada suku pertama tahun kewangan 2027, daripada 365 orang pada akhir tahun kewangan 2026.

 

HLIB berkata pertambahan 51 pekerja teknikal pada suku pertama tahun kewangan 2027 itu melebihi pertambahan 62 orang sepanjang keseluruhan tahun kewangan 2026, manakala kadar pengambilan semasa turut mendahului anggaran 445 pekerja teknikal bagi tahun kewangan 2027.

 

HLIB percaya status SkyeChip sebagai syarikat tersenarai turut meningkatkan keupayaannya menarik dan mengekalkan jurutera, termasuk melalui pemberian berasaskan saham.

 

HLIB mengekalkan pandangan positif terhadap pendedahan jangka panjang SkyeChip kepada AI dan peluang reka bentuk semikonduktor, namun berkata perkembangan harga saham seterusnya bergantung kepada kemajuan nyata dalam mendapatkan pelanggan, pembangunan teknologi serta pertumbuhan keuntungan.

 

HLIB mengekalkan saranan Pegang terhadap SkyeChip dengan sasaran harga RM2.85. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved