Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.

Kalau korang pemilik kenderaan Perodua, ada satu lagi kad yang mungkin menarik perhatian.
Perodua dan Bank Rakyat kini menjalinkan kerjasama menerusi pelancaran Kad Kredit-i yang menawarkan manfaat khusus untuk perbelanjaan berkaitan sektor automotif.
Kerjasama ini bukan sahaja bertujuan menyokong ekosistem automotif negara, malah Kad Kredit-i Perodua-Bank Rakyat direka khusus bagi memenuhi keperluan pemilik kenderaan.
Menariknya, mata ganjaran yang dikumpul boleh dipindah dan ditebus dengan mudah menerusi aplikasi P-Circle Perodua.
5x Mata Ganjaran Untuk Perbelanjaan Automotif

Antara ciri khas yang ditawarkan menerusi Kad Kredit-i ini ialah lima kali ganda mata ganjaran bagi perbelanjaan bahan api, pengecasan EV (kenderaan elektrik), penyelenggaraan kenderaan serta pembelian perlindungan takaful.
Selain itu, kad ini turut menawarkan 0% yuran transaksi di luar negara dan tiada yuran tahunan dikenakan kepada pemegang kad.
Pemegang kad juga akan menerima perlindungan takaful secara percuma untuk jumlah baki tunggakan maksimum RM300,000 sehingga umur 70 tahun.
Malah, Khairat Kematian sebanyak RM1,000 turut ditawarkan.
Ada Dua Rekaan Eksklusif
Lebih istimewa, Kad Kredit-i Perodua-Bank Rakyat ini didatangkan dengan dua rekaan imej eksklusif.
Rekaan tersebut diinspirasikan daripada Perodua QV-E serta karakter TIRA daripada filem animasi yang ditayangkan di aplikasi P-Circle Perodua.
Mengulas mengenai kerjasama itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad berkata pihaknya berterima kasih kepada Bank Rakyat atas sokongan kuat yang diberikan dalam memastikan kerjasama kedua-dua syarikat berjalan lancar.
“Pelancaran ini amat bersejarah bagi kami kerana ia adalah kali pertama kami menjalinkan kerjasama dengan institusi perbankan untuk pengeluaran Kad Kredit-i.
“Kami juga akan menjalankan kempen khas untuk menarik pelanggan kami bagi mendapatkan Kad Kredit-i ini menerusi tawaran-tawaran eksklusif Pakej Perodua.”
Gabungkan Perbankan Islam & Industri Automotif
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Rakyat, Ahmad Shahril Mohd Shariff berkata kerjasama strategik bersama Perodua mencerminkan pendekatan Bank Rakyat dalam membina ekosistem yang dapat memberikan nilai dan ganjaran lebih menyeluruh kepada pelanggan.
Menurutnya, ia dilakukan melalui gabungan kekuatan perbankan Islam dan industri automotif.
“Inisiatif ini selaras dengan aspirasi ‘Untuk Semua’ Bank Rakyat dalam memperluas akses kepada penyelesaian kewangan yang inklusif dan relevan kepada seluruh lapisan masyarakat.
“Kami percaya kerjasama seperti ini dapat membuka lebih banyak peluang kepada Bank Rakyat untuk memperluas jangkauan, memperkukuh pengalaman pelanggan serta membangunkan penyelesaian kewangan patuh Syariah yang lebih inovatif dan bernilai tambah.”
Orang ramai boleh mengunjungi cawangan jualan dan servis Perodua serta cawangan Bank Rakyat yang berdekatan untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kelebihan Kad Kredit-i ini.
Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.





