Perodua Lancar Kereta EV Pertama, QV-E Berharga RM80,000 Tak Termasuk Bateri

LocalCars
1 Dec 2025 • 4:18 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu

Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) hari ini (1 Disember) secara rasminya telah melancarkan kenderaan elektrik (EV) pertama mereka iaitu Perodua QV-E.

Memetik SoyaCincau, Perodua QV-E yang turut dikenali dengan kod P01A ini dibangunkan sejak Ogos 2023 melibatkan 266,000 jam R&D (research and development) dengan jumlah kos RM800 juta.

EV baharu ini juga dibina menggunakan platform baharu sepenuhnya yang dibangunkan bersama syarikat automotif terkenal dari Austria, Magna Steyr. Bagaimanapun, hak milik intelektual (IP) platform ini serta semua IP lain berkaitan kereta ini masih kekal milik Perodua.

image is not available
Foto: SoyaCincau

Perodua QV-E tampil dengan reka bentuk Sportback, nampak sporty habis!

Perodua QV-E ini tampil dengan reka bentuk Sportback yang menonjolkan imej sporty, moden dan berani.

Dari luar, ia dilengkapi Day Running Light (DRL), bar lampu belakang rekaan memanjang, pemegang pintu hadapan rata serta roda aloi aero bersaiz 18-inci.

image is not available
Foto: SoyaCincau

Dari segi dimensi, QV-E ini berukuran 4,170mm panjang, 1,800mm lebat dan 1,502mm tinggi. Jarak rodanya pula 2,680mm dengan ketinggian lantai 158mm manakala berat kereta ialah 1,600kg menjadikannya antara EV yang teringan di pasaran pada ketika ini.

Boot pada bahagian belakang boleh dibuka dengan menekan logo Perodua, namun saiz ruang di dalamnya masih belum dikongsikan Perodua.

Ruang dalaman menggunakan material plastik berkualiti dan kemasan soft-touch

Bahagian dalam pula, QV-E ini masih mengekalkan gaya reka bentuk tipikal Perodua yang ringkas dan praktikal.

Interior dilengkapi warna hitam dengan aksen kelabu-perak selain menggunakan material plastik berkualiti dengan kemasan soft-touch pada papan pemuka dan bumbung.

Kerusi pula gabungan kulit tiruan dan fabrik serta lengkap dengan stereng dua-jejari dibalut dengan kulit.

EV ini juga menampilkan suis fizikal untuk kawalan iklam, rotary gear selector serta toggle untuk memilih mode pemanduan.

Serba serbi digital, siap sokong Android Auto dan Apple Carplay

Paparan digital terdiri daripada kluster instrumen 10.25-inci, paparan infotainment 10.25-inci, dan cermin pandang belakang digital.

QV-E menyokong Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar, selain membolehkan pengguna memantau pengecasan dan kawalan climate melalui aplikasi P-Circle.

image is not available
Foto: SoyaCincau

Perodua QV-E hasilkan 201hp, jarak pemanduan boleh capai 350Km

Dari segi prestasi, QV-E menggunakan sistem pacuan roda hadapan dengan motor elektrik 150kW yang menghasilkan 201hp dan 285Nm tork. Ia mampu memecut dari 0-100 Km/H dalam 7.5 saat dengan kelajuan maksimum 165 Km/h.

Difahamkan, jarak pemanduan yang boleh dicapai oleh EV ini adalah sekitar 350Km atau lebih bergantung pada cara pemanduan.

image is not available
Foto: SoyaCincau

Perodua QV-E sokong pengecasan DC dan AC:

  • DC charging 60kW: 30% ke 80% dalam 30 minit
  • AC Charging 6.6kW: ambil masa 8 jam untuk dicas penuh

QV-E ini juga menyokong Vehicle-to-Load (V2L) 3.3kW untuk mengecas peranti luaran.

Perodua QV-E lengkap dengan ciri keselamatan termasuk untuk lindungi kanak-kanak

Dari segi keselamatan pula, QV-E ini dilengkapi 6 beg udara standard dan pelbagai ciri ADAS seperti berikut:

  • Autonomous Emergency Braking (AEB)
  • Adaptive Cruise Control (ACC)
  • Blind Spot Detection (BSD)
  • Lane Keep Assist (LKA)
  • Traffic Jam Assist (TJA)

Kereta ini turut menampilkan Surround View Monitoring, Tyre Pressure Monitoring Sensor (TPMS).

Untuk keselamatan kanak-kanak, QV-E turut menampilkan Child Presence Detector (CPD) yang direka untuk mengurangkan risiko kematian kanak-kanak di dalam kereta yang diparkir. Jika sensor CPD mengesan anak di dalam kereta, ia akan menghidupkan hon dan lampu hazard serta menghantar notifikasi kepada pemilik melalui aplikasi dan SMS.

Selain itu, QV-E juga mempunyai sistem SOS kecemasan terbina yang membolehkan pengguna menghubungi Perodua Auto Assist sekiranya berlaku kerosakan dan secara automatik menghubungi MERS999 sekiranya beg udara teraktif semasa kemalangan.

Harga, pilihan warna dan waranti

Untuk info, Perodua QV-E ini hanya didatangkan dalam satu varian sahaja dengan dua pilihan warna iaitu Ice Blue dan Caviar Grey pada harga RM80,000, namun harga tersebut tidak termasuk bateri.

Bateri pula perlu disewa secara berasingan melalui kontrak Battery-as-a-Service (BaaS) dengan bayaran sebanyak RM275 sebulan selama 9 tahun.

image is not available
Foto: SoyaCincau

Setakat ini, Perodua QV-E tidak ditawarkan untuk pembelian terus. Korang perlu mendaftar kontrak BaaS sekiranya mahu memiliki EV ini.

Dari segi waranti, kereta ini dilindungi selama 6 tahun atau 150,000 Km, manakala unit pemanduan EV pula mempunyai waranti 8 tahun atau 150,000 Km.

Bateri voltan tinggi diberikan waranti seumur hidup, tetapi ia tetap menjadi milik Perodua walaupun kontrak BaaS 9 tahun korang telah tamat.

image is not available
Foto: SoyaCincau