amree15/10/2026 - 17:50 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 15 Okt — Perolehan Seng Fong Holdings Berhad merosot 29.4% kepada RM1.05 bilion bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026 (FY26) berikutan kekangan bekalan bahan mentah dan gangguan rantaian logistik yang menjejaskan operasi syarikat.
Penurunan hasil itu turut disusuli kemerosotan keuntungan bersih sebanyak 77% kepada RM8.06 juta daripada RM35.15 juta pada FY25, manakala keuntungan sebelum cukai (PBT) pula menyusut kepada RM10.12 juta berbanding RM44.26 juta sebelumnya.
Syarikat menjelaskan prestasi sepanjang tahun kewangan itu dipengaruhi masalah bekalan serta keadaan cuaca buruk yang menjejaskan operasi. Gangguan logistik maritim turut memberi kesan kepada aliran perdagangan dan penghantaran produk ke pasaran utama.
"Bagi menghadapi cabaran ini, Seng Fong merancang pelaburan berjumlah RM19 juta pada FY27 untuk memperkukuh keupayaan logistik dan meningkatkan automasi pembuatan, selain meneruskan perluasan rangkaian bekalan global," maklumnya kepada Bursa Malaysia.
Prestasi suku keempat FY26 menunjukkan pemulihan berbanding suku sebelumnya, dengan PBT berjumlah RM14.9 juta selepas mencatat kerugian sebelum cukai RM2.4 juta pada suku terdahulu.
Bagaimanapun, PBT bagi FY26 turun kepada RM33.45 juta daripada RM82.38 juta pada tahun sebelumnya. Margin keuntungan kasar turut menyusut kepada 3.2% berbanding 5.5%, mencerminkan tekanan terhadap prestasi operasi sepanjang tahun kewangan berkenaan.

Dari segi pasaran, Singapura kekal sebagai penyumbang hasil terbesar, dengan jualan naik kepada RM742.58 juta berbanding RM718.37 juta. Sebaliknya jualan langsung ke China jatuh kepada RM240.05 juta daripada RM620.65 juta, berikutan gangguan logistik maritim.
"Seng Fong memperuntukkan RM13 juta pelaburan armada pengangkutan sendiri secara berperingkat. Daripada jumlah itu, RM8 juta akan digunakan untuk membeli 10 lori kargo dan 10 lori kontena, manakala RM5 juta lagi bagi dua lori kargo dan 10 lori kontena," katanya.
Pelaburan itu disasarkan menjana penjimatan RM6 juta setahun dengan tempoh pulangan modal kurang tiga tahun. Syarikat turut memperuntukkan RM6 juta bagi peralatan pembuatan pintar di Kilang 3, yang dijangka siap pada FY27 dengan mengurangkan kerja manual hingga 50%.
Dalam perkembangan korporat, anak syarikatnya, Syarikat Tenaga (Gemas), memperoleh 51% kepentingan dalam Rainbow Rubber Buying Center Ltd di Ghana pada 7 Julai 2026 dengan balasan tunai RM100,500.
Jumlah aset Seng Fong meningkat 11% kepada RM416.27 juta, manakala tunai dan kesetaraan tunai berjumlah RM138.94 juta. Syarikat turut membayar dividen interim satu sen sesaham berjumlah RM7.22 juta pada 10 April 2026.
Bagi prospek FY27, tumpuan diberikan kepada penggunaan kapasiti, pengeluaran gred premium serta inisiatif sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS) dan penggunaan forklift elektrik yang disasarkan menjimatkan kos bahan api RM500,000 setahun. - DagangNews.com




