KUALA TERENGGANU – UMNO Terengganu tampil menjelaskan bahawa pihaknya tidak pernah menerima sebarang jemputan rasmi bagi menghadiri Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah anjuran Perikatan Nasional (PN).
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Nik Dir Nik Wan Ku berkata, pihaknya sedia maklum mengenai kenyataan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang menyebut semua parti politik telah dijemput ke program berkenaan.
Namun beliau menjelaskan, sehingga kini tiada sebarang dokumen atau jemputan rasmi sampai ke tangan UMNO Terengganu daripada pihak penganjur.
"Sekiranya jemputan itu dibuat di peringkat kepimpinan tertinggi iaitu UMNO Pusat, perkara tersebut adalah di luar pengetahuan dan tindakan kami di peringkat negeri.
"Bagaimanapun, hasil semakan yang dilakukan dengan Setiausaha Kerja UMNO Pusat mendapati memang tiada sebarang jemputan diterima setakat ini," katanya ketika dihubungi di sini pada Isnin.
Mengulas lanjut, Nik Dir menyatakan bahawa UMNO pada dasarnya tidak mempunyai halangan untuk menghadiri program anjuran mana-mana pihak, asalkan ia melalui saluran yang betul.
"Kita sentiasa bersikap terbuka dan biasanya akan memenuhi jemputan daripada parti lain, namun ia tertakluk kepada kesesuaian program serta kelapangan masa pimpinan," jelas beliau.
Isu ketiadaan wakil UMNO mula mencetuskan tanda tanya selepas kelibat pemimpin parti itu tidak kelihatan sepanjang Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah ke-5 dan Himpunan Alam Melayu 2026 yang berlangsung di pekarangan sebuah kompleks sukan di sini sejak Khamis lalu.
