Kementerian Luar Negeri Malaysia terus berusaha memperkukuh hubungan dua hala dengan negara lain menerusi rundingan bagi memudahkan pergerakan rakyat Malaysia, termasuk usaha mendapatkan pelonggaran syarat visa.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Utama Mohamad Hasan, berkata antara hasil rundingan terbaharu ialah kemudahan perjalanan ke Kanada bagi rakyat Malaysia yang memiliki visa Amerika Syarikat.
“Mana negara yang memerlukan visa, kita perlu visa. Tapi banyak negara yang kita minta pelonggaran demi pelonggaran sebab mereka nak terus hapuskan visa. Itu kadang-kadang susah, jadi mereka melonggarkan sedikit,” katanya ketika ditemui media di Laman Media WTC sempena Perhimpunan Agung UMNO 2026, di sini hari ini.
Beliau berkata, hasil rundingan dua hala dengan rakan sejawat dari Kanada, kerajaan negara itu membuat keputusan bahawa rakyat Malaysia yang mempunyai visa Amerika Syarikat tidak lagi perlu mendapatkan visa untuk ke Kanada.
“Macam baru-baru ini saya berunding dengan rakan sejawat daripada Kanada. Kanada kita memerlukan visa. Tapi dia dah mulakan, saya minta dengan beliau supaya mudahkan, dan mereka telah buat keputusan awal iaitu rakyat Malaysia yang ada visa Amerika tak perlu lagi visa pergi ke Kanada,” jelasnya.
Menurut Mohamad, kemudahan tersebut turut melibatkan pengurangan bayaran, selain beberapa lagi perkara berkaitan perjalanan yang sedang dirundingkan antara Malaysia dengan negara-negara lain.
Katanya, Kementerian Luar sentiasa berusaha meningkatkan hubungan dua hala, khususnya dengan mempermudah pergerakan rakyat antara negara.

Dalam pada itu, Mohamad turut mengingatkan rakyat Malaysia yang berada di luar negara supaya menjaga tatatertib dan mematuhi undang-undang negara tempat mereka menetap.
Katanya, imej Malaysia di peringkat antarabangsa ketika ini adalah baik dan menjadi tanggungjawab rakyat untuk memastikan reputasi tersebut terus dipelihara.
“Setakat hari ini imej Malaysia amat baik di luar negara. Itu sebabnya pasport antarabangsa Malaysia merupakan pasport yang diterima, yang paling baik diterima oleh masyarakat antarabangsa,” ujarnya.
Beliau berkata, rakyat Malaysia tidak seharusnya melakukan perkara yang menyalahi undang-undang negara tempat mereka tinggal kerana tindakan sedemikian boleh menjejaskan imej negara serta menyukarkan urusan rakyat Malaysia lain untuk melakukan perjalanan ke luar negara.
Artikel lain: Segerakan PRU16? Tok Mat jawab ‘Dah lebih tiga tahun, parti politik sentiasa mahu mandat baharu’
“Jadi kita tidak mahu imej itu tercalar, terjejas dan menyebabkan kesukaran nanti untuk rakyat Malaysia lain untuk membuat perjalanan ke mana-mana,” tambahnya lagi.
Mohamad turut menyeru komuniti Malaysia di luar negara supaya sentiasa bersatu, saling berhubung dan bekerjasama dengan pihak kedutaan bagi memastikan kebajikan rakyat Malaysia dapat diberi perhatian, khususnya ketika berdepan keperluan mendesak.






