Persaingan sengit industri IT boleh gugat prospek pertumbuhan SRKK AI, kata PublicInvest 

TechnologyBusiness & Finance
24 Jun 2026 • 3:00 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Persaingan sengit industri IT boleh gugat prospek pertumbuhan SRKK AI, kata PublicInvest  Image from: Persaingan sengit industri IT boleh gugat prospek pertumbuhan SRKK AI, kata PublicInvest  amree24/06/2026 - 15:00 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 24 Jun – Persaingan sengit dalam industri teknologi maklumat (IT) dijangka menjadi antara cabaran besar yang bakal dihadapi SRKK AI Berhad selepas penyenaraian pada 9 Julai 2026.

 

Public Investment Bank (PublicInvest) dalam analisis turut menyenaraikan isu gangguan bekalan perkakasan serta turun naik kadar pertukaran asing boleh menggugat pertumbuhan kumpulan berkenaan.

 

Firma itu namun berpandangan syarikat tersebut berada pada kedudukan strategik memanfaatkan trend pesat pendigitalan serantau, khususnya dalam bidang kecerdasan buatan (AI), analitik data dan awan.

 

"SRKK AI merupakan penyedia rumusan transformasi digital yang menawarkan rangkaian perkhidmatan menyeluruh termasuk aspek keselamatan siber, dan perniagaan pintar (BI)," tambahnya dalam nota.

 

Justeru ujar PublicInvest, kumpulan itu dijangka meraih manfaat pertumbuhan digital di Malaysia dan Indonesia yang dipacu peningkatan penggunaan teknologi dalam kalangan perusahaan serta kerajaan.

 

Ujarnya, pasaran perkhidmatan awan serta analitik data dan BI di Malaysia dijangka berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) antara 20.3% dan 20.9% bagi tempoh 2026 hingga 2028.

 

Selain ia memperkukuh kedudukan di Malaysia dan Singapura, SRKK AI merancang ke Indonesia susulan penerimaan awal melalui pertanyaan pelanggan, serta kerjasama dengan banyak syarikat IT tempatan.

 


Kurangkan Kebergantungan Pihak Ketiga

"Dalam usaha perluasan hasil, syarikat itu mahu memajukan rumusan perisian berasaskan AI dalam 24 bulan selepas penyenaraian bagi mengurangkan kebergantungan pihak ketiga," kata PublicInvest.

 

Antara produk yang bakal dibangunkannya termasuk platform berasaskan awan untuk perancangan dan ramalan rantaian bekalan serta pengurusan prestasi alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

 

SRKK AI turut bercadang menubuhkan makmal AI dan akademi AI bagi meningkatkan tahap keupayaan perkhidmatan nasihat transformasi digital serta melahirkan lebih ramai bakat AI warga tempatan.

 

Pada masa sama jelas PublicInvest, syarikat itu akan membangunkan Pusat Operasi Keselamatan (SOC) bagi memperkukuh perkhidmatan keselamatan siber dan meningkatkan keupayaan pemantauan ancaman.

 

"Model perniagaannya disokong hasil berulang dari kontrak perkhidmatan awan, IT terurus, analitik data dan penyewaan perkakasan dijangka menyediakan aliran pendapatan lebih stabil," tambahnya.

 

Sehubungan itu, firma tersebut menetapkan nilai saksama (FV) iaitu 38 sen sesaham berasaskan nisbah harga kepada pendapatan (PER) SRKK AI sebanyak 11.5 kali bagi unjuran pendapatan sesaham FY27.

 

Penilaian ini kata PublicInvest disokong unjuran CAGR tiga tahun sebanyak 17% hasil peningkatan pendigitalan serantau dan permintaan semakin kukuh terhadap rumusan berasaskan AI. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved