Harga aluminium kekal tinggi, projek infrastruktur terus sokong prospek sektor bahan asas binaan – RHB Research

LocalBusiness & Finance
14 Oct 2026 • 10:13 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Harga aluminium kekal tinggi, projek infrastruktur terus sokong prospek sektor bahan asas binaan – RHB Research Image from: Harga aluminium kekal tinggi, projek infrastruktur terus sokong prospek sektor bahan asas binaan – RHB Research liza14/10/2026 - 10:13 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 14 Okt – RHB Research mengekalkan saranan Overweight terhadap sektor bahan asas Malaysia, dengan prospek keuntungan disokong harga aluminium yang dijangka kekal tinggi, potensi pertumbuhan industri bahan kimia serta permintaan simen daripada projek infrastruktur.

 

Firma penyelidikan itu memilih Press Metal Bhd dan TMK Chemical Bhd sebagai pilihan utama yang dipacu jangkaan harga aluminium kekal tinggi serta potensi pertumbuhan keuntungan menerusi cadangan pengambilalihan Chemical Company of Malaysia (CCM) bernilai RM939.9 juta.

 

RHB Research menjangkakan harga aluminium kekal tinggi hingga suku pertama 2027, disokong inventori rendah, kapasiti pengeluaran China yang terhad dan gangguan pengeluaran di Timur Tengah.

 

“Pengeluaran aluminium negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC) merosot 43% pada Ogos 2026 berbanding setahun sebelumnya. Inventori aluminium di London Metal Exchange (LME) turut susut 49% kepada 241,375 tan.

 

“Selain itu Emirates Global Aluminium (EGA), pengeluar aluminium terbesar di Timur Tengah melaporkan kerja pemulihan loji peleburan Al Taweelah baru mencapai 25% dengan pengeluaran penuh dijangka bermula pada suku pertama 2027.

 

Press Metal terima manfaat harga aluminium tinggi

“Keadaan bekalan yang masih terhad itu dijangka menyokong prospek Press Metal, selain permintaan daripada industri kenderaan elektrik dan pembangunan rangkaian elektrik untuk pusat data,” kata firma tersebut dalam nota kajiannya.

 

RHB Research menetapkan harga sasaran RM9.80 bagi Press Metal dengan berpandangan penilaian saham syarikat itu masih menarik ketika harga aluminium dijangka kekal tinggi. 

 

Bagaimanapun, pemulihan pengeluaran di Timur Tengah dan pertambahan kapasiti baharu boleh mengurangkan kekangan bekalan dalam jangka sederhana.

 

Pengambilalihan CCM pacu TMK Chemical

Dalam industri bahan kimia, TMK Chemical telah menandatangani perjanjian untuk mengambil alih Chemical Company of Malaysia (CCM) pada harga RM939.9 juta. Urus niaga itu dijangka dimuktamadkan menjelang suku pertama 2027.

 

RHB Research menganggarkan keuntungan bersih selepas cukai dan kepentingan minoriti TMK Chemical berpotensi meningkat 50% hingga 60% pada tahun kewangan 2027 berbanding tahun sebelumnya, disokong manfaat pengambilalihan berkenaan.

 

“Penggabungan itu berpotensi meningkatkan kecekapan kos, penggunaan kapasiti kilang dan skala operasi syarikat. Kami turut melihat peluang pertumbuhan daripada pengembangan operasi Lynas dan menetapkan harga sasaran RM3.60 bagi TMK Chemical,” katanya.

 

Permintaan simen dijangka bertambah baik

Bagi Malayan Cement, permintaan simen dijangka meningkat secara beransur-ansur, disokong projek infrastruktur seperti Segmen 2 Transit Aliran Ringan Pulau Pinang dan sambungan Laluan Rel Pantai Timur ke Pelabuhan Klang.

 

Bagaimanapun, kos arang batu menjadi risiko kepada keuntungan. Malayan Cement telah mendapatkan bekalan arang batu pada harga AS$80 hingga AS$90 setan bagi tempoh sehingga Oktober–November 2026, iaitu 15% hingga 38% lebih tinggi berbanding paras tahun kewangan 2026.

 

RHB Research menganggarkan setiap kenaikan AS$10 setan dalam harga arang batu boleh mengurangkan keuntungan tahunan Malayan Cement sebanyak 5% hingga 6%, sekiranya kenaikan kos tidak dapat dipindahkan sepenuhnya kepada pelanggan. 

 

Firma itu menetapkan harga sasaran RM8.20 bagi saham syarikat berkenaan.

 

Secara keseluruhan, RHB Research mengekalkan pandangan positif terhadap sektor bahan asas, dengan prospek Press Metal disokong harga aluminium, TMK Chemical oleh pengambilalihan CCM dan Malayan Cement oleh permintaan projek infrastruktur. 

 

Namun, kenaikan kos bahan mentah dan kelembapan ekonomi masih kekal sebagai risiko utama kepada sektor itu. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved