Persiapan sambutan Hari Kebangsaan hampir 100 peratus – Fahmi

28 Aug 2026 • 11:22 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Persiapan sambutan Hari Kebangsaan hampir 100 peratus – Fahmi

PUTRAJAYA – Persiapan perbarisan Hari Kebangsaan 2026 di Dataran Putrajaya dijangka mencapai hampir 100 peratus menjelang raptai penuh esok, dengan hanya beberapa aspek kecil perlu diperhalusi.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, berkata, penambahbaikan itu melibatkan penyelarasan jarak pergerakan antara kontinjen bagi memastikan keseluruhan perbarisan berlangsung dengan lebih kemas dan tersusun.

“Ada beberapa kontinjen yang pergerakannya agak jauh daripada kontinjen sebelumnya, jadi (perkara itu) perlu diperkemas sedikit. Insya-Allah, menjelang (raptai penuh) kita percaya (persiapan) capai hampir 100 peratus,” katanya di sini, hari ini.

Fahmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026 berkata demikian kepada media selepas meninjau raptai sambutan, di sini.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata faktor cuaca yang baik membantu kelancaran latihan, selain memuji semangat tinggi dan moral berkobar-kobar yang ditunjukkan semua peserta termasuk anggota keselamatan serta pelajar sekolah dari tiga negeri yang terlibat dalam persembahan grafik manusia.

Beliau berkata, selain aset baharu dan formasi, penyertaan sulung Askar Timbalan Setia Negeri Johor serta aset maritim Bot Kelas Ibrahim rekaan sendiri Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim antara tarikan utama sambutan tahun ini.

Dalam pada itu, Fahmi memberi jaminan tahap keselamatan struktur bertingkat yang menempatkan 1,500 pelajar bagi persembahan grafik manusia telah diteliti sepenuhnya oleh Perbadanan Putrajaya.

Beliau berkata pergerakan kecil yang kelihatan pada struktur tersebut merupakan tahap toleransi yang dibenarkan bagi menyesuaikannya dengan pergerakan berirama para peserta.

“Struktur itu perlu mempunyai sedikit toleransi pergerakan dan telah dipastikan selamat. Ini juga kali ketiga digunakan dan setakat ini tiada sebarang masalah,” katanya. – Bernama

The post Persiapan sambutan Hari Kebangsaan hampir 100 peratus – Fahmi appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved