HKHM 2026: Persiapan hampir 100% menjelang raptai penuh esok: Fahmi

28 Aug 2026 • 11:14 AM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

Image from: HKHM 2026: Persiapan hampir 100% menjelang raptai penuh esok: Fahmi

PUTRAJAYA - Persiapan perbarisan Hari Kebangsaan 2026 di Dataran Putrajaya dijangka mencapai hampir 100 peratus menjelang raptai penuh esok, dengan hanya beberapa aspek kecil perlu diperhalusi.

Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata penambahbaikan itu melibatkan penyelarasan jarak pergerakan antara kontinjen bagi memastikan keseluruhan perbarisan berlangsung dengan lebih kemas dan tersusun.

"Ada beberapa kontinjen yang pergerakannya agak jauh daripada kontinjen sebelumnya, jadi (perkara itu) perlu diperkemas sedikit. Insya-Allah, menjelang (raptai penuh) kita percaya (persiapan) capai hampir 100 peratus," katanya di sini, hari ini.

Fahmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026 berkata demikian kepada media selepas meninjau raptai sambutan di sini yang turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata faktor cuaca yang baik membantu kelancaran latihan, selain memuji semangat tinggi dan moral berkobar-kobar yang ditunjukkan semua peserta termasuk anggota keselamatan serta pelajar sekolah dari tiga negeri yang terlibat dalam persembahan grafik manusia.

Beliau berkata selain aset baharu dan formasi, penyertaan sulung Askar Timbalan Setia Negeri Johor (JMF) serta aset maritim Bot Kelas Ibrahim rekaan sendiri Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim antara tarikan utama sambutan tahun ini. 

Dalam pada itu, Fahmi memberi jaminan tahap keselamatan struktur bertingkat yang menempatkan 1,500 pelajar bagi persembahan grafik manusia telah diteliti sepenuhnya oleh Perbadanan Putrajaya (PPj).

Beliau berkata pergerakan kecil yang kelihatan pada struktur tersebut merupakan tahap toleransi yang dibenarkan bagi menyesuaikannya dengan pergerakan berirama para peserta.

"Struktur itu perlu mempunyai sedikit toleransi pergerakan dan telah dipastikan selamat. Ini juga kali ketiga digunakan dan setakat ini tiada sebarang masalah," katanya.

Mengenai kedudukan struktur yang kelihatan sedikit tidak simetri, beliau menjelaskan keadaan itu disebabkan laluan perarakan dan bangunan PPj tidak berada pada paksi yang sama, selain jumlah peserta yang dikurangkan daripada 2,000 kepada 1,500 orang tahun ini.

Bagaimanapun, Fahmi telah meminta pihak urus setia meneliti semula penyesuaian teknikal pada masa hadapan bagi mengurangkan persepsi negatif mengenai kedudukan struktur itu. - 28 Ogos, 2026

The post HKHM 2026: Persiapan hampir 100% menjelang raptai penuh esok: Fahmi appeared first on Scoop.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved