Persiapan Sukan SEA 2027 di P. Pinang capai 85 peratus

24 Oct 2026 • 3:21 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Persiapan Sukan SEA 2027 di P. Pinang capai 85 peratus

SEBERANG PERAI – Pulau Pinang tidak memerlukan pembinaan ‘venue’ baharu bagi penganjuran enam acara Sukan SEA 2027 apabila persiapan negeri itu kini mencapai 85 peratus.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan negeri, Daniel Gooi berkata, tumpuan ketika ini adalah kepada aspek logistik dan pengurusan selain memuktamadkan beberapa perkara berkaitan penggunaan venue, termasuk rundingan harga.

Menurutnya, dua lokasi di bahagian pulau telah dikenal pasti bagi penganjuran acara berkenaan, namun pengumuman rasmi hanya akan dibuat selepas perbincangan bersama Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN Malaysia (MASOC) 2027.

“Sekarang kita dalam 85 peratus persediaan dan berbanding negeri penganjur lain, mungkin kita lebih mudah kerana venue sudah sedia ada. Kita tidak melibatkan sebarang pembinaan venue baharu, cuma perlu melihat aspek logistik, pengurusan dan sebagainya.

“Saya yakin kita berada di landasan yang baik dan dapat mengikuti garis masa yang diberikan bagi memastikan penganjuran Sukan SEA di Pulau Pinang berjalan lancar,” katanya di sini hari ini.

Sukan SEA 2027 dijadual berlangsung dari 18 hingga 29 September tahun depan dengan Pulau Pinang menjadi tuan rumah bagi enam acara iaitu sepak takraw, snuker dan biliard, judo, tinju, pingpong serta floorball.

Selain Pulau Pinang, Sarawak dan Kuala Lumpur masing-masing akan menganjurkan 18 acara, manakala Johor menjadi tuan rumah bagi acara bola sepak. – KOSMO! ONLINE

 

The post Persiapan Sukan SEA 2027 di P. Pinang capai 85 peratus appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved