Menang fasa pertama, Gamuda berpeluang raih kontrak RE Mortlake fasa kedua lebih RM2 bilion di Australia – Penganalisis

LocalBusiness & Finance
29 Sep 2026 • 10:02 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Menang fasa pertama, Gamuda berpeluang raih kontrak RE Mortlake fasa kedua lebih RM2 bilion di Australia – Penganalisis Image from: Menang fasa pertama, Gamuda berpeluang raih kontrak RE Mortlake fasa kedua lebih RM2 bilion di Australia – Penganalisis liza29/09/2026 - 10:02 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 29 Sept – Kemenangan kontrak Mortlake Energy Hub fasa pertama bernilai RM2.28 bilion oleh Gamuda Berhad di Victoria, Australia dilihat berpotensi membuka peluang kepada kumpulan itu untuk meraih kontrak susulan bernilai lebih RM2 bilion bagi fasa kedua projek tenaga boleh diperbaharui (RE) berkenaan.

 

Menerusi Gamuda Engineering Australia (GEA), kumpulan pembinaan itu memperoleh kontrak kejuruteraan, perolehan dan pembinaan (EPC) bernilai A$790 juta (RM2.28 bilion) bagi membangunkan fasa pertama Mortlake Energy Hub, yang menggabungkan kemudahan solar dan sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS) berskala besar.

 

Penganalisis berkata projek itu adalah tambahan kepada rekod Gamuda dalam tenaga boleh diperbaharui (RE) di Australia, selain memperluas penglibatan GEA dalam projek solar dan sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS) berskala besar.

 

Projek fasa pertama itu melibatkan kemudahan tenaga boleh diperbaharui hibrid berkapasiti 300MW yang menggabungkan solar 435MWp dan BESS 1,449MWh sebelum disambungkan kepada rangkaian 500kV sedia ada menerusi Mortlake Terminal Station.

 

Dengan buku tempahan Gamuda kini bernilai RM61.2 bilion, penganalisis menjangkakan peluang kontrak baharu dan projek susulan dapat menyokong keterlihatan pendapatan kumpulan, dengan Mortlake fasa kedua menjadi antara potensi tambahan kepada saluran kontrak masa depan.

 

Kontrak baharu terus menyokong buku tempahan RM61.2 bilion

PublicInvest Research mengekalkan penarafan ‘Outperform’ terhadap Gamuda dengan harga sasaran RM6, sambil mengekalkan jangkaan kontrak baharu sebanyak RM30 bilion bagi tahun kalendar 2026 (CY2026).

 

Firma itu berkata kemenangan Mortlake merupakan kontrak strategik yang mengukuhkan pengembangan Gamuda dalam infrastruktur tenaga boleh diperbaharui di Australia, namun tidak mengubah unjuran kewangannya kerana kontrak berkenaan sudah termasuk dalam anggaran kontrak baharu RM30 bilion.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Gamuda peroleh kontrak RM2.28 bilion bina loji tenaga boleh diperbaharui di Australia

 

PublicInvest menganggarkan projek tersebut menyumbang kira-kira 1.8% kepada keuntungan bersih Gamuda setiap tahun sepanjang tempoh dua tahun, berdasarkan andaian margin keuntungan sebelum cukai pada paras pertengahan satu digit dan kadar cukai korporat 30%.

 

Dengan kontrak baharu terkumpul sebanyak RM24 bilion setakat ini, PublicInvest berkata buku tempahan Gamuda meningkat 3.9% kepada RM61.2 bilion selepas mengambil kira kerja yang telah dilaksanakan (burn-off).

 

Selain kontrak EPC, PublicInvest menjangkakan Gamuda memeterai kontrak operasi dan penyelenggaraan (O&M) bernilai A$45 juta (kira-kira RM130 juta) dalam tempoh sebulan, dengan kerja EPC Peringkat 1 berlangsung selama dua tahun sehingga Januari 2029.

 

Penglibatan buka peluang projek susulan

Sementara itu, MBSB Research mengekalkan saranan ‘Beli’ dan harga sasaran RM5.60 terhadap Gamuda dengan menyifatkan Mortlake sebagai kejayaan penting bagi GEA dalam projek EPC solar dan BESS berskala besar.

 

MBSB Research mengunjurkan margin keuntungan sebelum cukai (PBT) sekitar 5% bagi kontrak harga tetap itu, dengan kira-kira 80% perolehan telah diselesaikan sebelum kontrak EPC diberikan.

 

Keadaan itu menurut firma berkenaan mengehadkan pendedahan Gamuda kepada perubahan kos bagi baki kira-kira 20% kerja, sekali gus mengurangkan risiko kos yang lazimnya dikaitkan dengan kontrak harga tetap.

 

Firma itu turut menaikkan anggaran kontrak baharu Gamuda bagi CY2026 kepada RM27 bilion hingga RM29 bilion, dengan beberapa projek lain masih dalam saluran dan menjangkakan buku tempahan kumpulan pada akhir 2026 kekal pada RM60 bilion atau lebih.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved