Sistem CTOS diceroboh, sebahagian data pengguna terjejas sementara

LocalTechnology
23 Sep 2026 • 2:11 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Sistem CTOS diceroboh, sebahagian data pengguna terjejas sementara Image from: Sistem CTOS diceroboh, sebahagian data pengguna terjejas sementara liza23/09/2026 - 14:11 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 23 Sept – CTOS Digital Bhd mengesan akses tanpa kebenaran ke satu persekitaran sistem yang menyokong perniagaan penggunanya dengan sebahagian maklumat pengguna yang diproses syarikat telah diakses dalam insiden berkenaan.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, agensi pelaporan kredit itu berkata sebaik sahaja insiden dikesan, pihaknya segera mengaktifkan protokol keselamatan yang diperlukan dan berjaya mengawal persekitaran yang terjejas.

 

CTOS turut melantik pasukan tindak balas insiden bebas untuk menjalankan siasatan forensik bagi mengenal pasti punca serta skop kejadian berkenaan.

 

“Berdasarkan penilaian setakat ini, kami dapati insiden itu terhad kepada persekitaran yang dikenal pasti dan tidak melibatkan persekitaran sistemnya yang lain.

 

“Sistem syarikat kekal selamat dan berfungsi sepenuhnya serta tiada persekitaran lain terjejas,” menurut CTOS.

 

Sebahagian data pengguna diakses

Hasil siasatan mendapati beberapa fail data yang mengandungi sebahagian kecil maklumat pengguna yang diproses oleh syarikat telah diakses dalam insiden berkenaan.

 

CTOS berkata, sebahagian daripada perkhidmatan pelaporan kreditnya tidak dapat digunakan buat sementara waktu kerana syarikat melaksanakan langkah pembaikan yang diperlukan.

 

Bagaimanapun, operasi dan perkhidmatan perniagaan CTOS yang lain terus beroperasi seperti biasa tanpa gangguan.

 

Syarikat itu turut menjelaskan bahawa berdasarkan fakta yang tersedia ketika ini, insiden tersebut tidak memberi kesan kewangan yang ketara kepada CTOS.

 

CTOS berkata pihaknya telah memaklumkan perkara itu kepada pihak berkuasa berkaitan selepas mengesan kejadian berkenaan.

 

CTOS semak dan tingkatkan keselamatan siber

Pada masa sama, CTOS sedang mengkaji serta memperkukuh langkah keselamatan sibernya berdasarkan hasil laporan siasatan forensik bebas yang sedang dijalankan.

 

Syarikat itu bagaimanapun tidak menyatakan dalam makluman tersebut jenis maklumat pengguna yang terlibat atau jumlah data yang telah diakses.

 

Siasatan lanjut masih dijalankan bagi menilai keseluruhan keadaan insiden dan CTOS meneruskan langkah pemulihan terhadap perkhidmatan pelaporan kredit yang terjejas sementara. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved