Pertamina Enduro VR46 Racing Team Kekal Sebagai Ducati Factory Supported Team Sehingga 2029

4 Jul 2026 • 2:40 AM MYT
TW Media
TW Media

Gedung Info Permotoran

Image from: Pertamina Enduro VR46 Racing Team Kekal Sebagai Ducati Factory Supported Team Sehingga 2029

Pertamina Enduro VR46 Racing Team secara rasmi mengesahkan mereka akan terus menjadi Ducati Factory Supported Team dalam Kejuaraan Dunia MotoGP selepas memperbaharui kerjasama bersama Ducati sehingga sekurang-kurangnya penghujung musim 2029.

Perjanjian yang pada asalnya bermula pada musim 2025 itu kini dilanjutkan selama tiga tahun lagi, sekali gus memastikan pasukan yang berpangkalan di Tavullia milik legenda MotoGP, Valentino Rossi, terus menjadi sebahagian daripada keluarga Ducati bagi menghadapi era baharu MotoGP.

Kerjasama antara kedua-dua pihak sebenarnya telah bermula sejak 2022 dan berkembang pesat sehingga VR46 diberikan status sebagai Ducati Factory Supported Team bermula musim 2025. Sepanjang tempoh tersebut, kerjasama itu berjaya menghasilkan empat kemenangan, 16 penamat podium serta menyumbang 1,792 mata dalam Kejuaraan Pengeluar.

Bagi musim-musim akan datang, tiada perubahan besar dari aspek teknikal. Pertamina Enduro VR46 Racing Team akan terus menggunakan dua jentera Ducati Desmosedici GP, dengan sebuah motosikal menerima spesifikasi kilang lengkap berserta kemas kini teknikal sepanjang musim, manakala sebuah lagi menggunakan spesifikasi standard bukan kilang. Kedua-dua jentera turut mendapat sokongan penuh daripada tenaga teknikal Ducati yang ditempatkan bersama pasukan.

Pengarah Pertamina Enduro VR46 Racing Team, Alessio Salucci, menyifatkan lanjutan kerjasama itu sebagai satu pengiktirafan terhadap usaha seluruh pasukan sejak beberapa musim lalu.

Menurut beliau, mengekalkan status sebagai Ducati Factory Supported Team adalah sesuatu yang amat bermakna kerana ia membuktikan Ducati terus meletakkan kepercayaan terhadap projek yang dibangunkan bersama.

“Kami amat berbangga dapat mengumumkan pembaharuan kerjasama ini untuk tiga tahun lagi. Ia mencerminkan konsistensi dan kerja keras setiap ahli pasukan. Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Ducati, khususnya Luigi Dall’Igna, Claudio Domenicali dan Mauro Grassilli atas kepercayaan yang terus diberikan kepada kami.

“Dengan peraturan baharu MotoGP yang akan diperkenalkan pada 2027, kami sedar cabaran bakal menjadi lebih besar. Namun kami bersedia menghadapinya dengan semangat, keazaman dan asas kukuh yang telah dibina bersama Ducati,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Ducati Corse, Luigi Dall’Igna, berkata VR46 Racing Team sentiasa mempamerkan tahap profesionalisme, kepakaran dan semangat tinggi sejak permulaan kerjasama mereka.

Beliau yakin hubungan erat yang dibina atas nilai dan visi yang sama akan terus membawa kejayaan kepada kedua-dua pihak pada masa hadapan.

“Sejak awal lagi, Pertamina Enduro VR46 Racing Team menunjukkan konsistensi, kepakaran dan semangat yang tinggi. Kami telah mencapai pelbagai kejayaan bersama dan gembira dapat meneruskan perjalanan ini sekurang-kurangnya sehingga 2029.

“Pembaharuan ini mengukuhkan lagi hubungan yang dibina atas nilai bersama, visi yang sama serta cita-cita tinggi. Saya yakin kami akan terus meraih keputusan cemerlang pada tahun-tahun akan datang,” ujar Dall’Igna.

Lanjutan kerjasama ini turut memberi isyarat bahawa Ducati terus melihat VR46 Racing Team sebagai rakan strategik penting dalam pembangunan jentera Desmosedici GP, terutama menjelang perubahan besar peraturan teknikal MotoGP bermula musim 2027.

The post Pertamina Enduro VR46 Racing Team Kekal Sebagai Ducati Factory Supported Team Sehingga 2029 appeared first on TW Media.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved