
VOGE Racing Team menamatkan saingan Pusingan 3 PETRONAS MAM Malaysia Cub Prix 2026 di Litar Jempol dengan membawa pulang pelbagai data penting bagi memperkukuhkan pembangunan jentera serta meningkatkan prestasi pasukan menjelang baki musim.
Walaupun tidak memperoleh keputusan seperti yang disasarkan, pasukan tetap menunjukkan perkembangan positif apabila dua pelumbanya berjaya menamatkan perlumbaan dalam kategori CP150.
Afizi Supaat menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-13, diikuti adiknya, Afizad Supaat di tempat ke-14 selepas mengharungi perlumbaan yang kompetitif. Keputusan itu memberi peluang kepada pasukan untuk mengumpul maklumat penting mengenai prestasi motosikal dalam keadaan perlumbaan sebenar.
Namun, nasib tidak menyebelahi seorang lagi pelumba pasukan, Muzakkir Mohamed, yang sedang bersaing dalam kelompok hadapan sebelum perlumbaannya berakhir lebih awal akibat insiden yang menyebabkan beliau gagal menamatkan perlumbaan (DNF).
Meskipun pulang tanpa keputusan terbaik, VOGE Racing Team melihat pusingan di Jempol sebagai satu lagi langkah penting dalam proses pembangunan pasukan yang masih baharu dalam saingan Malaysia Cub Prix.
Pasukan kini akan meneliti semua data yang diperoleh sepanjang hujung minggu perlumbaan bagi mengenal pasti aspek yang boleh dipertingkatkan sebelum menghadapi pusingan seterusnya.
VOGE Racing Team turut merakamkan penghargaan kepada semua penaja, rakan teknikal dan penyokong yang terus memberikan kepercayaan serta sokongan kepada pasukan sepanjang musim 2026. Dengan usaha berterusan daripada barisan pelumba dan kru, pasukan optimis mampu kembali lebih kompetitif pada pusingan akan datang.










The post VOGE Racing Team Kutip Data Penting Di Jempol, Sasar Prestasi Lebih Baik Pada Pusingan Seterusnya appeared first on TW Media.






